Ahli KPSM Terima Dividen Sebanyak 35%

mafuzal.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA MARUDU: Pekebun kecil sawit di Kota Marudu, khususnya ahli-ahli Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Kota Marudu Berhad, bertuah kerana menerima dividen sebanyak 35%.

Pengerusi KPSM Kota Marudu Berhad, Matuzal Timbuang berkata, KPSM mendapat keuntungan hasil daripada pengurusan koperasi yang baik dan keuntungan ini dikembalikan kepada semua ahli.

“Dividen ini tepat pada masanya sejajar desakan dan kekangan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Lebih ramai lagi dijangka akan mendapat manfaat menerusi bantuan ini pada masa akan datang dan diharap lebih ramai lagi pekebun kecil sekitar Kota Marudu menyertai KPSM.

“Sudah tentu kami amat bersyukur pemberian dividen ini, sekurang-kurangnya koperasi kami adalah koperasi yang dapat memberi pulangan yang tinggi berbanding institusi yang lain.

“Diharap ini dapat memberi semangat kepada semua ahli koperasi,” kata Matuzal semasa Mesyuarat Agong Tahunan (MAT) pada 21 November 2021.

Katanya, ahli lembaga koperasi sememangnya telah memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan perjalanan perniagaan koperasi berjalan lancar dan teratur.

Ahli koperasi amat berbesar hati dan gembira dengan pemberian dividen yang tinggi tersebut, tambahnya.

KPSM Kota Marudu Berhad ditubuhkan pada 28 Mac 2018 dan beroperasi di Kg. Sumbilingon, Jalan Marak Parak, Kota Marudu.

Penubuhan koperasi ini adalah sejajar dengan matlamat negara untuk mengeluarkan minyak sawit mampan yang mesra alam.

Penubuhan KPSM adalah inisiatif Kerajaan untuk menyatukan pekebun kecil sawit individu di bawah satu payung supaya mereka boleh menjalankan aktiviti ke arah menjaga kepentingan bersama terutamanya dalam meningkatkan produktiviti kebun dan taraf sosio – ekonomi pekebun kecil.

Jualan kelompok BTS anggota KPSM merupakan aktiviti utama KPSM untuk meningkatkan pendapatan ahli.

Pihak KPSM menawarkan harga BTS terbaik kepada anggota.

“Sebelum ini Kerajaan melalui MPOB telah menyediakan bantuan pembinaan pusat timbang serta pinjaman mudah tanpa faedah, dan yang terkini adalah bantuan pembelian jentera secara padanan,” jelas Matuzal.

Dalam pada itu, ahli-ahli koperasi penanam sawit juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Penolong Pengarah SKM, Awang Ruslli Mohamad atas perasmian Mesyuarat Agong Tahunan (AMT) Ke-2 koperasi.

“Sebagai Pengerusi KPSM, saya merakamkan ucapan khas terima kasih kepada MPOB, SKM, barisan ALK dan semua anggota KPSM di atas usaha gigih mereka dalam memajukan koperasi sehingga berjaya memberi pulangan dividien yang tinggi kepada ahli secara keseluruhan,” kata Matuzal. – Warta Oriental

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top