Ahli Kabinet Perlu Bebas Kes Rasuah, Pendakwaan Mahkamah – Pemimpin PKR

nik-nazmi-hasan-karim.jpg

Nik Nazmi (kiri) dan Hasan.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jemaah menteri yang akan dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelak perlu bebas kes mahkamah.

Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai kes mahkamah walaupun belum ditentukan bersalah tidak patut berada dalam Kabinet.

“Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak letakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam Kabinet supaya tidak timbul isu kelak, selain rakyat sangat tekankan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu hingga kini adalah soal rasuah,” katanya menurut Sinar Harian.

Nik Nazmi ketika mengulas lanjut, berkata setiap parti politik mempunyai Ahli Parlimen yang mampu dan layak untuk memegang jawatan atau portfolio menteri, termasuk menteri kanan dan timbalan perdana menteri.

Tambah beliau, pemilihan ahli Kabinet kelak perlu meneliti semua faktor memandangkan kerajaan yang ditubuhkan adalah berbentuk perpaduan.

Turut menyuarakan pandangan yang sama ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Malaysiakini melaporkan Hasan menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak melantik ahli parlimen yang menghadapi pertuduhan rasuah dalam kabinet.

Ahli parlimen PKR itu berkata beliau berkempen pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 berdasarkan dasar utama Pakatan Harapan (PH) untuk memerangi rasuah.

“Saya mohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak melantik ahli-ahli parlimen yang ada kes mahkamah dalam pertuduhan rasuah dan pecah amanah menjadi menteri dalam kerajaan perpaduan.

“Kriteria ini hendaklah diguna pakai secara adil kepada semua ahli parlimen tidak kira dari PH ataupun dari BN atau parti- parti gabungan politik lain yang berada di dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyokong cadangan seorang pemimpin Umno yang mahu Ahmad Zahid Hamidi menjadi timbalan perdana menteri dalam kerajaan perpaduan.

Cadangan dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii itu merujuk hierarki Umno di mana Zahid merupakan presiden parti.

Presiden PBRS, Fredie Sua, berkata jawatan itu harus diberikan kepada Zahid kerana Barisan Nasional (BN) adalah rakan utama dalam kerajaan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Selain Zahid yang berdepan kes mahkamah, turut menghadapi pendakwaan adalah pemimpin Pakatan Harapan (PH) membabitkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kerajaan perpaduan diterajui Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) terbentuk dari sokongan pelbagai parti terutama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Muda dan Ahli Parlimen bebas.

Sokongan berkenaan menjadikan Anwar menikmati sokongan dua pertiga di Parlimen seperti diumumkannya, pada Jumaat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim

ADS

“Hapuskan rasuah. Ini janji kita,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top