Agrobank agih RM2.5 bilion pembiayaan untuk usahawan di Sabah

agro-bank.jpg

Gambar hiasan.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Agrobank telah menyalurkan pembiayaan sejumlah 2.5 bilion sejak 2019 sehingga 2023 yang memanfaatkan usahawan dalam sektor utama iaitu pertanian, perikanan dan penternakan di Sabah.

Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, dengan pembiayaan sedia ada bank, pihaknya akan terus menyokong pembangunan ekonomi negeri Sabah terutamanya dalam merealisasikan agenda hala tuju Sabah Maju Jaya.

“Inisiatif yang dianjurkan Agrobank di Sabah adalah manifestasi mandat kami untuk terus komited dalam menyediakan akses perbankan yang inklusif, meliputi komuniti di luar bandar dalam usaha mempergiat ekonomi dan menaik taraf hidup di samping membuka peluang pekerjaan kepada lokaliti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena kunjungan hormat ke pejabat Menteri Sabah bagi membincangkan inisiatif dan impak Agrobank dalam memperkukuhkan sektor pertanian di negeri Sabah terutamanya di kawasan luar bandar, baru-baru ini.

Tengku Ahmad Badli menjelaskan, Agrobank telah bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Pertanian Negeri, Kementerian Perladangan & Komoditi, serta Persatuan-Persatuan Penjaja/Peniaga dalam mendapatkan prospek pelanggan pembiayaan untuk pelbagai jenis dana di bawah selian Agrobank.

Antara inisiatif Agrobank untuk komuniti Sabah adalah program pembiayaan kerjasama bank dengan Aqina Borneo Sdn. Bhd. bagi projek ladang kontrak tanaman nanas MD2 di Beaufort dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6 juta.

Agrobank juga menawarkan dana pemula bagi golongan B40 Pemulih NewBiz sehingga bulan Disember lalu dan pembiayaan khusus untuk usahawan wanita (Agro TERAS Nisaa) sehingga Disember 2023 selain terbabit dengan program pembangunan asnaf dan usahawan asnaf.  – KOSMO! ONLINE

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top