Agong Perkenan Isytihar Darurat Di Parlimen Gerik, DUN Bugaya

agong-1.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan isytihar darurat bagi bahagian Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Seri Paduka Baginda telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya yang dijadualkan pada 16 Januari 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan nanti.

“Dalam menyembah nasihat kepada Seri Paduka Baginda, Jemaah Menteri pada 4 Disember telah membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah jika diadakan pada masa pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

“Mengambil iktibar penularan Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini, Jemaah Menteri berpandangan kedua-dua PRK ini perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah diadakan serentak pada 16 Januari 2021.

Kedua-dua kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandangnya, Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarham Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pada 18 November lalu, Yang di-Pertuan Agong turut bersetuju mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, Sabah, bagi mengelak PRK sebagai langkah proaktif membendung pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menjunjung tinggi kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top