KOTA KINABALU: Parti SEDAR Rakyat Sabah telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Khas di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Ahad lepas yang turut dihadiri oleh Presiden parti, Datuk Othman Abdullah, Pengerusi Parti SEDAR Rakyat Sabah, Prof. Dr. Ariffin Muhammad dan Timbalan Pengerusi SEDAR Sabah, Dr Julia Emelda Ongkili.
Mesyuarat ini menumpukan kepada pembentangan dan perbincangan beberapa resolusi penting yang bakal menjadi agenda utama parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRNS17).
Parti SEDAR Rakyat Sabah bukan sekadar sebuah nama, malah membawa maksud yang mendalam kepada rakyat dan negeri Sabah. SEDAR adalah akronim bagi Sabah Economic Development and Accountability Reforms, yang menjelaskan misi utama parti untuk memperjuangkan pembangunan ekonomi yang berdaya tahan serta memperkukuhkan reformasi akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan. Parti SEDAR berpegang teguh kepada prinsip ini demi kesejahteraan jangka panjang negeri Sabah.
Antara resolusi utama yang dibincangkan dalam AGM khas tersebut adalah:
Memperkasakan Reforms Akauntabiliti
Parti SEDAR Rakyat Sabah menekankan komitmennya untuk giat mempromosikan reformasi akauntabiliti dalam setiap gerak kerja parti. Langkah ini bertujuan memastikan kebertanggungjawaban yang tinggi dan pentadbiran yang telus, sesuai dengan visi untuk membawa perubahan menyeluruh dalam tadbir urus negeri dan memastikan hasil pembangunan ekonomi sampai kepada rakyat.
Partisipasi dalam PRNS17
Parti SEDAR Rakyat Sabah mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRNS17) bersama dengan Parti-Parti Tempatan di Sabah. Keputusan ini adalah berdasarkan keyakinan bahawa SEDAR mampu membawa pembaharuan ekonomi dan politik yang diperlukan, sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah melalui agenda reformasi yang digariskan.
Pertambahan Keahlian Parti
Parti SEDAR Rakyat Sabah menerima sambutan yang memberangsangkan daripada rakyat yang menunjukkan minat untuk menyertai parti. Jumlah keahlian yang semakin meningkat menunjukkan kepercayaan rakyat terhadap misi dan visi parti dalam membawa pembangunan yang lebih inklusif dan adil di negeri ini.
Persediaan Jentera Pilihan Raya
Parti SEDAR Rakyat Sabah juga mengesahkan bahawa jentera pilihan raya parti sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRNS17. Persiapan rapi dari segi logistik, strategi kempen, dan penyelarasan akar umbi telah dilaksanakan bagi memastikan kejayaan parti dalam pilihan raya tersebut.
Pendirian Parti terhadap Kerajaan
Setakat ini, Parti SEDAR Rakyat Sabah mengekalkan pendirian yang mesra terhadap Kerajaan yang sedia ada. Namun, parti akan terus memperjuangkan prinsip akauntabiliti dan reformasi tadbir urus sebagai dasar utamanya dalam berinteraksi dengan mana-mana pihak.
Prof. Dr. Ariffin Muhammad, Pengerusi Parti SEDAR Rakyat Sabah, menekankan bahawa parti ini bukan sahaja membawa harapan baharu untuk pembangunan ekonomi Sabah, tetapi juga menjamin akauntabiliti yang lebih kukuh dalam pentadbiran negeri.
Parti SEDAR Rakyat Sabah optimis bahawa dengan sokongan padu daripada rakyat dan persiapan rapi, ia berupaya membawa perubahan yang lebih baik untuk masa depan Sabah. Parti juga menyeru semua rakyat Sabah untuk terus menyokong agenda reformasi ekonomi dan akauntabiliti yang dibawa oleh SEDAR demi kemajuan dan kesejahteraan negeri. – Jesselton Times