ADUN Warisan Yang Lompat Tetap Diseret Ke Mahkamah – Shafie

shafie-apdal-1.jpg

Gambar fail

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah melompat keluar bagi menyertai parti lain.

Presidennya, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, tindakan akan diambil atas kesalahan melanggar syarat perjanjian yang telah ditandatangani bersama parti Warisan.

Beliau berkata, jika melanggar syarat perjanjian sudah semestinya ada pampasan. Parti telah membelanjakan wang bagi membayar deposit semasa mereka menjadi calon dan telah berkempen untuk mereka semasa pilihan raya.

Katanya, melihat keputusan mahkamah dalam kes bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin yang melompat keluar daripada PKR dan diarahkan membayar bon berjumlah RM10 juta maka, tindakan undang-undang terhadap bekas ADUN Warisan yang keluar akan diteruskan.

“Kes Sebatik masih dalam peringkat rayuan dan itu kes pertama kita. Saya juga telah beri arahan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap ADUN lain kerana sudah ada keputusan terhadap Zuraida.
“Saya telah berikan arahan kepada peguam kita untuk membawa kes-kes lain ke mahkamah.
“Sebelum ini, kita telah bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meminta kerusi dikosongkan tapi ditolak oleh DUN. Jadi, kita dalam proses untuk membawa kes-kes lain ke mahkamah, biar mahkamah putuskan,” katanya semasa sidang akhbar, di sini pada Sabtu.

Seramai 11 ADUN Warisan telah melompat keluar dari parti berkenaan sejak PRN lepas.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, syarat bon bukan hanya dari segi kewangan tetapi, juga berbentuk pampasan yang perlu dibayar kepada parti iaitu perlu mengosongkan kawasan DUN yang dimenangi atas tiket Warisan.

Menurut Mohd. Shafie, pengosongan kerusi adalah perkara pertama yang perlu dibuat apabila ADUN Warisan lompat parti.

“Memandangkan sudah ada keputusan (kes Zuraida) menyatakan pampasan harus diberikan kepada parti maka, jika ia boleh diberikan kepada parti lain kenapa tidak diberikan kepada kita (Warisan),” katanya.

Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, semua calon mewakili Warisan telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) yang mengandungi beberapa syarat termasuk bersetuju mengosongkan kerusi DUN diwakili sekiranya mereka keluar daripada Warisan.

Pada 23 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Warisan untuk mengarahkan ADUN Sebatik mengosongkan kerusi kerana surat peletakkan jawatan yang tidak bertarikh dan surat aku janji untuk taat setia terhadap Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 telah menyalahi undang-undang.

 

Sumber: UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top