KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M Yahya (gambar) mengesahkan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir kekal seorang ADUN bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
Kadzim berkata, ini kerana surat peletakan jawatan Hassan yang dikemukakan Parti Warisan Sabah (Warisan) semalam tidak efektif kerana ditandatangani terlebih dahulu tanpa menyatakan sebarang tarikh.
Beliau berkata, Hassan juga menghantar kepadanya akuan bersumpah dengan jelas menyatakan tiada niat untuk mengosongkan kerusi DUN di sebalik tindakannya keluar daripada Warisan.
“Setelah saya meneliti kedua-dua dokumen berkenaan, saya mendapati surat peletakan jawatan yang dikemukakan oleh Warisan kepada saya yang dikatakan ditandatangani oleh ADUN Sebatik itu adalah pada sendirinya ‘ineffective’ (tidak efektif).
“Mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, apa-apa peletakan jawatan ‘pre-sign’ dan ‘undated’ (atau) tidak bertarikh adalah batal. Berasaskan kepada itu, saya tidak dapat menerima surat itu sebagai peletakan jawatan,” kata beliau dalam sidang media.