KOTA KINABALU: Adun Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir bebas memilih masa depan politiknya selepas bertindak keluar dari parti Warisan dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas kelmarin.
Demikian kata Timbalan Pengerusi PPBM Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
FMT melaporkan Masidi berkata demikian apabila diminta mengulas keputusan Hassan meninggalkan Warisan dan mengisytiharkan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Hassan juga turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Masidi, yang merupakan salah seorang anggota jawatankuasa GRS, berkata: “Saya tidak mahu menilai keputusan itu, itu adalah kebijaksanaannya sepenuhnya – saya harapkan dia mendapat yang terbaik.”
Ketika ditanya apakah akan ada lebih banyak Adun pembangkang mengambil langkah yangsama seperti Hassan, Masidi berkata: “Saya benar-benar tidak dapat membuat spekulasi kerana politik adalah percaturan dan profesion yang sangat luar biasa – anda benar-benar tidak tahu apa yang akan terjadi seterusnya.”