ADUN Petagas Pula Keluar Warisan, Sertai Gagasan Rakyat

awang-ahmad-keluar-warisan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) sekali lagi menerima tamparan apabila ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Isnin.

Beliau yang sebelum ini merupakan Bendahari Agung Warisan mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Menurut Awang Ahmad Sah, keputusan itu diambil selepas melakukan perbincangan dengan pemimpin Bahagian Putatan.

“Pada hari ini, saya berserta keseluruhan kecuali tiga atau empat cawangan – kita ada 90 cawangan – dengan ini mengumumkan bahawa kami meninggalkan Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

“Lebih kurang tiga bulan saya memikirkan perkara ini selepas pilihan raya dan saya banyak juga mendengar serta melakukan perbincangan dalam kalangan pemimpin di bahagian saya.

“Nampaknya saya tidak ada sedikit keraguan pun kerana bukan saya saja yang keluar daripada Warisan tetapi boleh dikatakan keseluruhan pimpinan dari bahagian Wanita, Wirawati, sebahagian besar Wira, ketua-ketua cawangan sebulat suara untuk menyokong perpindahan ini kepada Gagasan Rakyat,” katanya dalam sidang akhbar itu.

Ditanya sama ada keputusan itu dipengaruhi oleh pihak lain, beliau menyatakan ia adalah kerelaannya sendiri tanpa membawa akar umbi di bahagiannya.

“Ini kerelaan saya sendiri, saya sudah berbincang dengan mereka setelah saya berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji. Saya bukan tanya berapa duit diberikan kepada saya. Saya cuma tanya apa perancangan untuk Sabah,” katanya.

Untuk rekod pada 6 Feb lepas, tiga ADUN Warisan mengumumkan keluar meninggalkan parti dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan negeri pimpinan Hajiji.

Tiga ADUN terbabit ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top