ADUN PBS Ingatkan MP DAP, Jangan Guna Isu Kemiskinan Raih Sokongan Politik

Kurum-dan-Chan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: ADUN Telupid, Jonnybone Kurum menyelar Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang menggunakan isu kemiskinan untuk menuding jari serta meraih sokongan politik.

Katanya, pemimpin sepatutnya menunjukkan komitmen dengan mencari penyelesaian terbaik untuk membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan, bukannya menghina keadaan mereka yang susah.

Kurum, yang juga Penolong Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar mungkin kurang berkemampuan, tetapi mereka tidak pernah kehabisan sumber makanan atau tidak mempunyai rumah.

“Penduduk kampung boleh mengusahakan tanah mereka bila-bila masa dan mereka juga mempunyai sumber makanan mencukupi, walaupun tidak mempunyai wang yang banyak.

“Oleh itu, janganlah sesekali menghina keadaan mereka yang susah, kita seharusnya membantu dan bukannya mengejek penderitaan mereka.”

Beliau mengulas kenyataan Chan yang menyatakan lapan daerah di Sabah disenaraikan daerah termiskin, walaupun mempunyai wakil rakyat terdiri daripada menteri dan timbalan menteri di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Kurum berkata, kadar kemiskinan bandar di Kota Kinabalu mungkin lebih teruk daripada kawasan luar bandar seperti yang dinyatakan Chan.

“Sebenarnya, masalah kemiskinan bukan sahaja berlaku di kawasan pedalaman, tetapi juga di bandar

“Realitinya, golongan miskin bandar juga wujud di Kota Kinabalu. Adakah anda (Chan) berani menyatakan di kawasan Parlimen Kota Kinabalu tiada kemiskinan?” soalnya.

Di kawasan pedalaman, katanya, tidak wujud masalah pengemis seperti di kawasan bandar.

“Oleh itu, Chan perlu turun padang lebih kerap untuk melihat permasalahan (pengemis) yang wujud di kawasan beliau.

“Ini juga menunjukkan masalah kemiskinan yang serius sememangnya berlaku di kawasan bandar.” – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top