KOTA KINABALU: Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Pas, Dr. Aliakbar Gulasan kekal berada dalam kerajaan negeri Sabah.
Walaupun di peringkat Persekutuan, Pas yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) berada dalam blok pembangkang namun, di Sabah Pas tetap bersama Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
Aliakbar berkata, memandangkan Sabah masih didukung kerajaan yang sama semasa pembentukannya pada 2020 maka, kedudukan beliau kekal seperti sebelum ini.
“Sabah masih didukung kerajaan yang sama masa pembentukan pada 2020. Ia bermakna Pas masih kekal menyokong GRS.
“Pakatan Harapan (PH) juga tidak menguasai Sabah sebaliknya, ADUN PH cuma menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada.
“Saya tengok kalau tiada apa-apa perubahan dari segi pentadbiran negeri maka, kerajaan sekarang adalah kerajaan asal sejak 2020,” katanya ketika dihubungi.
Dalam konteks itu dari falsafah politiknya, kerajaan itu masih lagi kerajaan yang dibentuk pada 2020, tiada perubahan.
“Namun, komponen politiknya sahaja yang berbeza kerana berlaku peralihan.
Mengulas lanjut katanya, jika bersandarkan kepada PN, di Sabah tiada PN yang ada hanya komponennya sahaja.
Tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Hajiji Noor keluar parti baru-baru ini, hanya Aliakbar satu-satunya ADUN tunggal dari komponen PN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. –UTUSAN