Adun Luyang Gesa Kerajaan GRS Beri Peruntukan Khas Sekali Lagi

phoong.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah menggesa kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberikan peruntukan khas sekali lagi kepada wakil pembangkang susulan pengumuman ‘lockdown’ terbaharu di negara ini.

Februari lalu, kerajaan negeri memberi RM100,000 setiap seorang untuk ADUN pembangkang bagi membantu meringankan beban penduduk di kawasan mereka akibat Covid-19.

ADUN Luyang dari DAP, Phoong Jin Zhe berkata ‘lockdown’ ini yang serupa dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama, akan mengakibatkan kesan berpanjangan untuk rakyat.

“Keluarga yang kurang bernasib baik serta warga emas yang tinggal bersendirian paling akan terkesan ketika ‘lockdown’ ini.

“Saya menggesa kerajaan negeri mengetepikan perbezaan politik dan meluluskan peruntukan khas untuk semua wakil rakyat.

“Ini bagi membolehkan mereka mengagihkan bantuan makanan di kawasan masing-masing selain mempromosikan program vaksinasi,” katanya ketika dihubungi.

Februari lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengumumkan 31 wakil pembangkang di negeri itu akan mendapat peruntukan khas RM100,000 setiap seorang untuk membantu penduduk di kawasan mereka ketika Covid-19.

Katanya, dana itu membabitkan sejumlah RM3.1 juta, yang akan disalurkan kepada ADUN terlibat menerusi pejabat daerah masing-masing.

Disoal sama ada beliau berpendapat GRS patut memberikan jumlah lebih tinggi kali ini, Phoong berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada kerajaan negeri.

“Namun saya berpendapat kerajaan negeri juga patut memberikan peruntukan lain, seperti bantuan prihatin RM100,000 yang hanya disalurkan kepada ADUN kerajaan,” katanya.

‘Lockdown’ seluruh negara, serupa dengan PKP kali pertama tahun lalu, berkuat kuasa dari 1 Jun hingga 14 Jun, dengan hanya sektor ekonomi serta perkhidmatan perlu akan dibenarkan beroperasi.

Phoong turut menggesa kerajaan Sabah menjalankan ujian swab secara proaktif, terutama di kawasan luar banda serta menyasarkan migran yang tidak mempunyai dokumen. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top