ADUN Kundasang Sampaikan Bantuan Bakul Makanan Kepada 3,100 KIR

dr-joachim-2.jpg
Kongsi Bersama

RANAU: Seramai 3,100 ketua isi rumah (KIR) dari 85 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang menerima sumbangan bantuan bakul makanan.

Sesi penyerahan bantuan bakul makanan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam di ruang menjual sayur-sayuran Kundasang.

Memandangkan peningkatan kes Covid-19 di daerah Ranau, hanya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai wakil mengambil kesemua bakul makanan mengikut kampung dari pusat penyimpanan bakul makanan dan kemudiannya akan diedarkan di kampung masing-masing.

Edaran bakul makanan ini dikendalikan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang, diketuai oleh Dounis Sani bersama dengan kakitangan UPPM serta Pejabat ADUN Kundasang.

Dr. Joachim berkata bantuan bakul makanan ini diberikan penduduk yang tersenarai dalam kategori B40 tanpa mengira fahaman politik.

“Mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 akan mendapat bantuan ini,”ujarnya, sambil menambah pihaknya akan terus berusaha untuk memastikan rakyat di sini mendapat bantuan.

“Saya akan pastikan rakyat DUN Kundasang mendapat bekalan makanan tanpa ada yang tercicir,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menasihatkan semua penduduk untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Kini Covid-19 sudah berada dalam komuniti, oleh itu ia bergantung kepada kita untuk menjaga diri sendiri dan keluarga. Terus amalkan penjarakan sosial dan mengikut SOP,” katanya.

Pada hari yang sama, Dr. Joachim turut menjayakan program ‘Info on Wheels’ Merdeka bagi daerah Ranau anjuran Jabatan Penerangan Daerah Ranau.

Sebanyak 100 bendera Jalur gemilang telah diserahkan kepada beberapa penerima iaitu, Pengerusi Gerai Peniaga Kundasang, Pengerusi JPKK Kampung Mesilau, Kampung Dumpiring, dan juga UPPM Kundasang.

Jalur gemilang berkenaan adalah untuk dikibarkan di balairaya-balairaya di daerah Ranau.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top