KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal harus menyalahkan diri sendiri atas tindakan beberapa Adunnya keluar parti.
Dalam laporannya hari ini FMT memetik Nizam sebagai berkata, Shafie patut bermuhasabah diri bahawa kepimpinannya bukan saja ditolak ADUN terbabit, tetapi keputusan PRU15 turut menyaksikan mereka ditolak rakyat.
“Tambahan pula Adun Warisan meninggalkan parti itu kerana merasakan ia tidak lagi sesuai menjadi platform memperjuangkan hak dan membela rakyat kerana pemimpin utamanya lebih gemar menimbulkan polemik serta ketidakstabilan politik,” katanya.
Beliau berkata, tindakan Shafie mendakwa Adun terbabit dibeli hanyalah retorik untuk menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahannya sendiri.
“Dakwaan Shafie bahawa Adun Warisan keluar parti kerana dibeli bukan saja cerita fitnah, tetapi politik murahan yang cuba memalitkan imej negatif kepada kerajaan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai ketua menteri.
“Jika presiden Warisan itu ada bukti Adunnya dibeli seperti didakwa, beliau perlu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukannya hanya membuat dakwaan retorik,” katanya dalam kenyataan yang dipetik oleh FMT.
Rabu lalu, Shafie dilaporkan mendakwa tiga Adunnya, Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi) meninggalkan Warisan untuk menyokong Hajiji kerana “dibeli”.
Semalam, Norazlinah dilaporkan berkata, beliau meninggalkan Warisan kerana tidak lagi bersetuju dengan hala tuju parti yang tidak konsisten serta mencabar Shafie melaporkan kepada SPRM berhubung dakwaannya.
Sejak pilihan raya negeri Sabah pada September 2020, Warisan kehilangan sembilan wakil rakyat, termasuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), DatukMohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan).