ADUN Kadamaian Taja Buku Kerja Bahasa Melayu SPM Untuk SMK Narinang

ewon-taja-buku.jpg
Kongsi Bersama

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan bagi menaja sepenuhnya buku kerja ulang kaji Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi semua pelajar di SMK Narinang yang akan mengambil peperiksaan tersebut.

Ewon dalam laporan Nabalu News menyampaikan sumbangan penajaan tersebut selepas menerima kunjungan daripada Guru Cemerlang BM SMK Narinang, Cikgu Juilis Mokujal di pejabat beliau di Penampang, pada Jumaat.

Menurut Ewon, kerjasama dan sumbangan penajaan sedemikian telah dimulakan sejak tahun lepas dan beliau menyatakan rasa bangga dengan pencapaian yang dicapai oleh para pelajar SMK Narinang dalam peperiksaan SPM yang lepas.

Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut merakamkan penghargaan kepada Cikgu Juilis dan semua guru di SMK Narinang yang telah membantu melonjakkan keputusan para pelajar mereka daripada GPMP 4.47 kepada 3.83 di mana sebanyak 69 orang pelajar memperoleh gred A.

Sementara itu, Cikgu Juilis merakamkan penghargaan di atas komitmen dan sokongan berterusan Ewon dalam menjayakan program kecemerlangan akademik pelajar-pelajar di DUN Kadamaian termasuk di SMK Narinang.

Menurut beliau, lebih 200 orang pelajar tingkatan lima SMK Narinang tahun ini akan mengambil peperiksaan SPM pada awal tahun hadapan.

Untuk meneruskan kecemerlangan para pelajar, Modul SeMeNang (SMK Narinang) Monotos Siri Ulang Kaji Bahasa Melayu Berfokus telah diperkenalkan bagi membantu para pelajar mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan tersebut selepas mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang penuh mencabar sepanjang tahun ini disebabkan pandemik Covid-19. – Berita Sabah

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top