OLEH: JAAFAR ABDUL WAHID
KOTA KINABALU : Orang ramai diingatkan agar menggunakan aplikasi yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya Sabah, bagi mengemukakan sebarang aduan berhubung dengan kerosakan jalan raya .
Pengarahnya Ir Ali Ahmad Hamid berkata aduan boleh dibuat di “Aduan Jalan Raya Jabatan Kerja Raya Sabah” melalui aplikasi https://play.google.com/store/apps/details?id=com.jkrapp. Untuk mendapatkan info terkini mengenai kerosakan jalan raya di negeri ini khususnya jalan-jalan di bawah kendalian JKR.
Menurut Ali Ahmad aplikasi ini dibangunkan oleh JKR Sabah bertujuan untuk mengalu-alukan semua pengguna jalan raya di negeri ini untuk membuat aduan berkaitan dengan kerosakan jalan raya di negeri ini.
“Aplikasi ini merupakan usaha JKR Sabah menyediakan rangkaian jalan raya yang selamat, selesa dan boleh dilalui setiap masa.”
“Penggunaan aplikasi ini hanya terhad untuk aduan jalan raya di negeri Sabah sahaja dan pengguna boleh menggunakanya untuk tujuan tersebut bagi memudahkan aduan pengguna dapat ditangani secepatnya,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi lawatan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin meninjau kerosakan Jejambat Hilltop di Luyang pada Khamis.
Ali Ahmad berkata demikian sebagai mengulas beberapa aduan yang dimuat naik berserta gambar sama ada melalui media sosial atau aplikasi WhatsApp, tetapi apabila pihak JKR menyiasat didapati perkara tersebut tidak wujud.
Tambah beliau sejak kebelakangan ini, ketika Sabah berhadapan dengan fenomena hujan lebat berpanjangan dan banjir yang berlaku di beberapa buah daerah di negeri ini mengakibatkan banyak jalan yang runtuh, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan media sosial atau aplikasi WhatAspp untuk membuat aduan palsu.
“Setelah pihak kami melakukan sisatan di lokasi yang dimaksudkan dalam aduan,kami dapati ia tidak benar ,malah gambar yang dimuat naik adalah gambar dari sumber lain dan tidak berlaku di Sabah” katanya
Menurut beliau perbuatan ini sudah tentu dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang hanya mengambil kesempatan untuk mencemarkan imej kerajaan, pemimpin dan JKR.
Sehubungan dengan itu Ali Ahmad meminta orang ramai khususnya pengguna jalanraya di negeri ini agar tidak mudah mempercayai sebarang laporan kerosakan jalanraya yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini yang menggunakan media sosial dan aplikasi WhatsApp sebaliknya mereka perlu merujuk kepada apilikasi yang disediakan atau pihak JKR di kawasan masing-masing.