Adelinah Bakal Kibar Bendera Sabah Di Puncak Everest

Adelinah.jpg

Adelinah Litanga

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Impian Adelinah Lintanga yang disimpan sejak lima tahun lalu untuk menawan puncak Gunung Everest akhirnya bakal tercapai.

Wanita berusia 37 tahun itu akan merealisasikan impian tersebut menerusi Program Keluarga Malaysia Ekspedisi Everest 2022, pada bulan Mei ini, lapor Utusan Malaysia.

Pelari maraton itu berkata, kali pertama beliau menjejakkan kaki di Nepal pada 2017 bagi menyertai Royal Penguin Ultra Marathon sejauh 60 kilometer yang diadakan di kaki Gunung Everest.

“Pada masa itu, saya sudah menyimpan impian untuk datang semula ke Nepal bagi mendaki Gunung Everest.

“Tidak sangka, permohonan saya menyertai Ekspedisi Everest kali ini membolehkan saya merealisasikan impian menawan puncak Everest. Saya menghantar resume menyertai program ini pada Januari lalu dan saya amat teruja kerana terpilih sebagai satu-satunya wakil Sabah,” katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, persediaan dari segi fizikal sudah mencukupi namun, beliau masih perlu menguatkan mental kerana pendakian ini memberi cabaran yang berbeza berbanding larian marathon.

Faktor cuaca yang sejuk dan ketinggian akan memberi cabaran yang hebat kepadanya namun, beliau bersedia mengharungi cabaran itu bagi memastikan kibaran bendera Sabah di puncak Everest dapat dilakukan.

Adelinah berkata, beliau akan menjalani latihan pendakian di Gunung Kinabalu serta dua gunung di Nepal sebelum meneruskan ekspedisi menawan Gunung Everest.

Pelari yang berasal daripada Kota Belud itu berkata, beliau akan berasa bangga sekiranya menjelang hujung Mei nanti, bendera Sabah boleh dikibarkan di puncak gunung tertinggi di dunia berkenaan.

Sementara itu, pendaki negara, Ravichandran a/l Tharumalingam berkata, menerusi program ini, mereka akan bergerak dalam kumpulan yang disertai lima pendaki termasuk dua pendaki wanita daripada Sabah dan Sarawak serta lima sherpa atau malim gunung.

“Kita sudah mengkaji risiko yang akan dihadapi dan akan cuba mengurangkan risiko tersebut namun, ia bergantung kepada keadaan cuaca. Pendakian ini akan mengambil masa perjalanan selama 60 hari.

“Memandangkan kos bagi setiap seorang pendaki RM168,000 (AS$ 40,000) maka, kami akan cuba mengumpul dana dan berharap mendapat sokongan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, beliau akan membawa perkara itu ke dalam Kabinet Negeri untuk melihat bantuan yang boleh diberikan bagi menyokong penganjuran program tersebut.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top