Adat Budaya sesuatu etnik tidak harus jadi isu: Fazar

datin-fazar.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU:  Adat dan budaya tidak seharusnya dijadikan sebagai satu isu di dalam negara yang berbilang kaum dan agama.

Pengasas Pergerakan Orang Wanita Empowerment and Revolution POWER, Datin Fazar Arif berkata setiap agama berhak untuk mengamalkan kepercayaan dan budaya mereka.

“Arak atau alkohol merupakan satu kelaziman dalam budaya masyarakat Borneo terutamanya bagi masyarakat Kadazandusun di Sabah.

“Pengambilan arak ini selalunya selepas musim menuai sahaja atau semasa sambutan majlis. Beginilah cara kami meraikan sesuatu di Borneo.

“Saya dilahirkan di Bingkor, Keningau dan kedua ibu bapa saya masuk Islam. Tapi saya juga mempunyai ramai saudara mara dan rakan-rakan yang bukan beragama Islam. Kita haruslah saling hormat menghormati budaya masing-masing,” katanya dalam webinar “Arak dan Sensitiviti Borneo, pada Sabtu lalu.

Menurut Fazar, jika nama pada arak sahaja boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang Islam, itu satu penghinaan kepada orang Islam sendiri.

“Kita sudah sedia maklum bahawa arak ada dijual di tempat-tempat khas tertentu di pasar raya, ada lorong khas, ada bilik-bilik khas. Kalau orang Islam nampak arak jenama Timah dan keliru buat apa… kalau kita yakin diri dan tahu diri kita sendiri buat apa kita mahu keliru.

“Bagi saya ini bukanlah sesuatu yang sensitif kerana masing-masing mempunyai hak untuk mengamalkan budaya mereka.

“Agama saya ialah agama saya dan agama kamu ialah agama kamu, kita bebas mengamalkan adat dan budaya masing-masing,” jelasnya.

Tambah Fazar lagi, terdapat banyak lagi isu yang dihadapi oleh Malaysia yang harus dibincangkan berbanding hal arak.

“Kita berbilang bangsa dan juga berbilang agama. Saya sama sekali tidak menyokong pemimpin yang bukan memimpin untuk membangunkan negara secara keseluruhanya tapi hanya menaikkan perkara yang remeh temeh yang boleh mengelirukan orang.

“Pemikiran pemimpin semakin sempit. Mereka terlalu membesar-besarkan hal ini.

“Daripada menjadikan perkara ini sebagai satu isu, mereka seharusnya fokus kepada ekonomi negara, taraf pendidikan… Itu yang patut difikirkan dan dibimbangkan sebenarnya,” katanya. – Nabalu News


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top