PETALING JAYA: Aktivis mahasiswa Adam Adli (gambar, kiri) mengesahkan beliau memenangi jawatan ketua Pemuda PKR pada pemilihan parti itu, kali ini.
Beliau mengesahkan perkara itu sebagai maklum balas ucapan tahniah daripada pencabar jawatan itu, Fahmi Zainol (gambar, kanan).
“Saya baru dimaklumkan tentang (kemenangan) keputusan pemilihan,” katanya kepada FMT.
Semalam, Adam dilaporkan mendahului bagi jawatan itu selepas memperoleh 7,545 undi di empat negeri.
Sementara itu, Adam meminta semua barisan kepimpinan baharu dan ahli parti supaya kembali merapatkan saf dan memperkukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Saya ucap terima kasih semua anggota telah jalan demokrasi. Terima kasih untuk semua atas penghormatan dan komitmen ditunjukkan ahli dalam menunaikan tanggungjawab.
“Harapan saya untuk melihat kepimpinan baharu ini dapat jalankan tugas dengan lebih baik, dapat mengisi kelompongan yang ada dalam parti sebelum ini untuk terus perkuat parti hadapi PRU akan datang,” katanya.
Beliau juga menafikan kononnya wujud puak-puak tertentu dalam pemilihan kali ini, sebaliknya berkata semua bersatu hati untuk memperkuatkan parti.
“Semua orang fokus persiapan PRU, tidak timbul isu puak-puak dalam parti dalam pemilihan.
“Tak timbul juga isu yang kalah merajuk, yang menang berbangga. Sebagai contoh semalam Saifuddin Nasution (calon timbalan presiden walaupun tewas) sudah tunjuk satu contoh baik,” katanya.
Dalam pada itu, Adam berkata setiap ahli parti yang bertanding dan tewas pemilihan kali ini akan diberi peranan masing-masing dan tidak akan dipingir parti. – FMT