KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan Majlis Kerja Tertinggi UMNO agar mengadakan Pemilihan UMNO sebaik tamat penggal ini (30 Jun 2021) atau beliau akan mendedahkan semua konspirasi mahu menjatuhkan kerajaan oleh pemimpin UMNO tertentu.
Dalam sidang media khas malam tadi, Shahidan memberitahu wartawan bahawa beliau akan mendedahkan usaha memungut tandatangan menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang dilakukan oleh pemimpin UMNO.
“Saya tidak mahu mendedahkan dalam bulan puasa ini. Namun saya akan dedahkan selepas raya nanti jika pemilihan parti ditunda.”
“UMNO parti yang kuat, saya tidak mahu merosakkan parti. Namun jika tiada pilihan, saya akan buat. Jika pemilihan diadakan saya mungkin tidak perlu dedahkan.”
Sahidan turut melahirkan rasa kecewanya kerana dituduh ejen Bersatu sedangkan beliau mematuhi keputusan parti mengadakan kerjasama dengan kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.
“Sebaliknya yang terang-terang langgar keputusan parti sebelum ini dengan menyokong Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin.”
Shahidan turut menggesa ahli MKT UMNO untuk menjadi berani dalam menjaga kepentingan parti. – SuaraTV.