Adakah Pemegang Kad Vaksin Bertulis Tangan Diberi Kelonggaran Sama di Sabah?, Tanya ADUN DAP

Phoong.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe meminta kerajaan negeri menjelaskan SOP sama ada pemegang kad vaksinasi tulisan tangan turut menikmati kelonggaran sama seperti individu lain yang lengkap divaksin

Katanya, SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menunjukkan pemegang kad vaksinasi bertulis juga menikmati kelonggaran sama seperti individu lain yang lengkap divaksin, tetapi SOP di Sabah tidak jelas.

“Saya ingin bertanya kepada kerajaan negeri untuk menjelaskan keadaan ini, boleh atau tidak mereka yang memegang kad vaksinasi secara tulisan tangan juga diterima sama seperti individu lain yang telah lengkap vaksin.

“Saya diberitahu, ramai penduduk dari luar bandar tidak mempunyai telefon pintar dan tidak tahu cara menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya ketika dihubungi.

ADUN Luyang itu berkata, selain menggalakkan penduduk luar bandar mendapatkan vaksin, kerajaan negeri seharusnya menangani isu ini kerana terdapat sejumlah penduduk di luar bandar yang tidak mempunyai telefon pintar dan mahir menggunakan MySejahtera.

Beliau turut mempersoalkan sama ada penduduk luar bandar dibenarkan memasuki premis hanya menggunakan sijil vaksin tulisan tangan yang dikeluarkan pusat pemberian vaksin.

Beliau mendakwa beberapa penduduk mengadu sijil digital vaksinasi yang sepatutnya ada dalam MySejahtera telah “hilang”.

Katanya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin perlu menyelesaikan isu sijil digital vaksin sebelum 15 Sept.

“Ini kerana Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mula menguatkuasakan kebenaran masuk ke pasar raya dan premis makanan mulai tarikh itu.

“Walaupun menteri (Khairy) telah mengarahkan isu ini ditangani dalam tujuh hari, tetapi saya berharap ianya dapat diselesaikan secepat mungkin atau menawarkan alternatif lain sebelum tarikh penguatkuasaan itu.”-FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top