TUARAN: Tindakan bekas wakil rakyat Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan sekutunya meninggalkan parti pada akhir bulan lalu menunjukkan ada yang tidak kena dalam kerajaan negeri pimpinan parti berkenaan.
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata tidak mungkin wakil rakyat terbabit mengambil tindakan itu tanpa sebab kerana ada di antara mereka memegang jawatan dalam Kabinet negeri.
“Mereka yang keluar daripada WARISAN dan parti sekutunya tentu ada sebab. Ini kerana yang keluar itu ada Pembantu Menteri, jadi tentu ada yang tidak kena,” katanya ketika merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Tuaran Kali Pertama, di sini, semalam.
Akhir bulan lalu, seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN dan sekutunya meninggalkan parti itu untuk menyertai gabungan pembangkang diketuai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri.
Bagaimanapun, cubaan itu gagal berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Musa bersama 32 ADUN yang menyokongnya kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pembubaran DUN itu, namun ditolak Mahkamah Tinggi, semalam.
Hajiji yang juga antara ADUN terbabit berkata, keputusan itu belum menamatkan usaha mereka kerana ia masih dirayu di Mahkamah Persekutuan.
“Ini bukan soal kita takut Pilihan Raya Negeri (PRN) tapi kita mahu mahkamah tegakkan keadilan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua BERSATU Tuaran, berkata rakyat Sabah juga ramai yang menyesal memilih WARISAN dan parti sekutunya pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Katanya, sepanjang dua tahun mentadbir negeri, kerajaan pimpinan WARISAN gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan, malah ekonomi Sabah merosot teruk dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) hanya 0.5 peratus tahun lalu.
“Ini bermakna tidak banyak aktiviti ekonomi dilaksanakan di negeri ini, menyebabkan kehidupan rakyat bertambah sukar.
“Sebab itu kita perlu tukar kerajaan ini supaya kita dapat melakukan perubahan dan membela rakyat terutama kebajikan mereka,” katanya.
Terdahulu, Hajiji berkata, walaupun BERSATU baharu bertapak setahun empat bulan di Sabah, ia kini sudah menjadi sebuah parti yang kuat dan dihormati.
“Kita pilih BERSATU kerana tsunami politik pada PRU lalu. Seramai 21 Ketua Bahagian UMNO dan 15 wakil rakyat buat keputusan pindah rumah lama ke BERSATU.
“Keputusan itu dipersetujui bersama atas kepentingan rakyat dan negeri tapi kita sedar ia bukan mudah kerana banyak cabaran dan tuduhan terhadap kita,” katanya.