Ada Tempat Untuk Anifah di Peringkat Persekutuan

Zahid-Anifah.jpg

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anifah Aman pada sekitar tahun 2017. (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KIMANIS: Kesediaan Datuk Seri Anifah Aman untuk tidak bertanding di kerusi Parlimen Kimanis pada PRU15 ternyata dihargai oleh Barisan Nasional (BN).

Kerana ‘pengorbanannya’ itu BN tidak menolak kemungkinan memberi ruang kepada bekas menteri luar itu untuk mengisi jawatan di peringkat nasional jika gabungan itu berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada program Gelombang Biru BN Zon 3 di sini pada Ahad.

Menurut Ahmad Zahid melalui rundingan yang dijalankan, Anifah mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Sebaliknya, kata beliau, Anifah menyatakan kesediaan untuk menyokong penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

“Datuk Moh (Alamin), InsyaAllah jika tuan-puan bersetuju saya akan letakkan semula Datuk Moh sebagai calon BN di Kimanis.

“Ada seorang lagi tokoh di Kimanis, walaupun beliau telah berjumpa dengan saya dan menyatakan sokongan kepada Datuk Moh dan tidak akan bertanding, tetapi saya akan beritahu Perdana Menteri ada tempat yang sesuai untuk tokoh berkenaan.

“Ini rundingan, jangan orang lain untung kita rugi. Moh untung, dia pun untung.

“Itu baru seimbang antara Moh dan Datuk Seri Anifah Aman. Betul?,” katanya.

Presiden UMNO itu menambah, begitu pun untuk memastikan perkara itu dapat direalisasikan, pengundi di Parlimen Kimanis perlu memastikan kemenangan berpihak kepada Mohamad.

“Datuk Moh bila menang jangan lupa beritahu Perdana Menteri sokong orang itu (Anifah) dapatkan jawatan di peringkat nasional, betul?

“Tidak susah untuk menyelesaikan masalah politik, nak gaduh buat apa,” ujarnya lagi.

Pada PRU14, Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember 2019 mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah.

Susulan itu, PRK Kimanis diadakan dengan menyaksikan Mohamad menang selepas menewaskan calon Parti Warisan (Warisan), Datuk Karim Bujang dalam pertandingan satu lawan satu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top