Ada rumah masih pakai atap nipah, rumbia tiang kayu hutan – Wetrom

wetrom.jpg

Datuk Wetrom Bahanda (Kredit foto: RTM)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Isu kemiskinan dan kedaifan hidup rakyat Sabah yang masih ketinggalan dalam aspek infrastruktur asas amat menyentuh hati Ahli Parlimen Kota Marudu, yang memohon kerajaan memberikan perhatian dan tindakan segera menokhtahkan isu itu.

Datuk Wetrom Bahanda mendedahkan, agak menyedihkan pada zaman ini, ada rakyat di daerah Kota Marudu menjalani kehidupan serba kekurangan sama seperti pada era 60-an.

“Rakyat Kota Marudu yang tinggal di kawasan pedalaman, kehidupan mereka seperti tahun 60-an.

“Mungkin kita tak terbayang ada lagi rumah rakyat dibina dari kayu hutan yang beratapkan daun nipah dan rumbia tetapi di sini, perkara ini masih berlaku.

“Di manakah mereka ini mohon pertolongan. Kita wakil rakyat pun terfikir apa peranan kita apabila perkara seumpama ini, kita hantar kepada kementerian berkaitan pun tiada tindakan dan makluman,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau mengharapkan isu itu termasuk bekalan air bersih dan elektrik dapat diberi perhatian.

“Saya mohon kementerian berkaitan dan YB Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memperuntukkan sekurang-kurangnya membina 1,000 rumah baharu rakyat miskin tegar yang berjumlah 1,179 miskin tegar dan 3,029 kategori miskin untuk Kota Marudu.

“Ini juga, untuk mangsa rumah terbakar serta mangsa rumah runtuh semasa tengkujuh yang semuanya tak dapat buat rumah sendiri kerana tidak mampu,” katanya.

Beliau turut berkongsikan kisah seorang anak alami kecacatan selepas keluarganya tidak mampu membawanya ke klinik berikutan tiada kemudahan itu di tempat tinggal mereka.

“Untuk program kesihatan, saya mohon pembinaan hospital Kota Marudu baharu dipertimbangkan kerajaan kerana bangunan sedia ada tidak boleh menampung keperluan rakyat.

“Saya juga mohon kementerian memasukkan peruntukan bajet tahun depan untuk lapan klinik kesihatan berstatus ‘Beyond Economic Repair’ (BER).

“Saya juga sekali lagi merayu cadangan pembinaan klinik kawasan Sonsogon Magandai agar mendapat perhatian kerana iajauh dari klinik sedia ada.

“Ada rakyat sampai cacat kerana keluarganya tak mampu hantar anak ini ke klinik,” katanya.

Wetrom turut senada dengan cadangan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli supaya kerajaan mewujudkan pasukan khas untuk meneliti isu kemudahan asas termasuk bekalan air bersih dan elektrik yang masih belum dipenuhi di kawasan miskin di Sabah dan Sarawak.

“Dengan Belanjawan 2024, kita minta daerah miskin dari Sabah dan Sarawak yang disuarakan kami akan diberi tumpuan dan perhatian serta diambil tindakan dari kerajaan.

“Saya tak nak berulang kali berucap dalam dewan ini memperkenalkan Kota Marudu antara daerah termiskin di Malaysia.

“Jadi, saya minta Kerajaan Madani yang prihatin kepada rakyat buat kajian dan tindakan dalam masa terdekat ini agar kemiskinan ini dapat dinoktahkan dalam tahun ini juga seperti diumumkan Tambun,” katanya. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top