PUTRAJAYA: Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mendedahkan, sekurang-kurangnya ada lima nama disebut-sebut mahu bertanding bagi merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti akan datang.
Tanpa menyebut siapa dalam kalangan lima nama berkenaan, beliau berkata, gelombang yang mahukan perubahan dalam UMNO semakin membahang dan mula menonjolkan diri sekali gus mampu menguji keabsahan dua jawatan tertinggi parti.
“Oleh itu, demokrasi subur dalam UMNO, usul khas tak mahu pertandingan jawatan Presiden, Timbalan Presiden tidak seharusnya dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
“Ini bertepatan dengan pandangan ramai pemimpin akar umbi yang membuat kenyataan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Maulizan berkata, calon-calon untuk kerusi Presiden dilihat mengintai peluang selepas parti UMNO yang dipimpin Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan prestasi yang lemah semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, Ketua UMNO bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman berkata, Ahmad Zahid tidak pernah melarang demokrasi, namun tiada pihak yang menawarkan diri untuk bertanding. – Utusan