Ada Keperluan Swastakan Air Sabah – Bung Moktar

bung-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) melihat keperluan untuk menswastakan bekalan air di Sabah bagi memastikan kemudahan asas tersebut dapat dipertingkatkan.

Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, bekalan air di negeri ini perlu diswastakan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan masalah bekalan air.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan KKR bagi Belanjawan Negeri 2021, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Rabu.

Katanya, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM500juta bagi menambah baik kemudahan bekalan air di negeri ini dan jumlah itu tidak mencukupi kerana sebahagiannya perlu digunakan bagi membayar hutang.

Disamping itu, kementeriannya akan membentangkan hala tuju jangka pendek, sederhana dan panjang mengenai bekalan air di Sabah.

Mengenai pengurusan loji rawatan air, Bung berkata, kementerian akan cuba pertahankan keputusan meletakkan pengurusan loji rawatan air dibawah Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah (JANS) seperti dilakukan kerajaan terdahulu.

Namun, kerajaan negeri masih berdepan dengan tuntutan RM400juta di mahkamah berkaitan penamatan konsesi pengurusan loji rawatan air tersebut daripada syarikat konsesi kepada JANS.

Oleh itu, bagi sedikit masa kepada JANS dan kakitangan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Untuk bekalan elektrik pula, KKR akan meminta kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan bagi mempertingkatkan Transmission Line eletkrik kepada 265kv di seluruh Sabah bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik.

Katanya, sementara menunggu pembinaan penyedia tenaga bebas (IPP) di Sandakan, Transmission Line sedia ada di Sabah perlu dipertingkatkan dari 132kv kepada 265kv. Disamping itu, kementerian juga akan membina solar 300mw untuk menampung keperluan bekalan elektrik.

Sementara itu, bagi penaiktarafan jalan raya di Sabah, beliau mahu data jalan di sediakan di semua 73 kawasan DUN bagi mengenal pasti berapa banyak jalan dan peruntukan diperlukan untuk menaik taraf jalan mengikut kawasan DUN.

Data tersebut akan digunakan bagi mendapatkan peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan.

“Saya tidak akan berlembut kerana rakyat Sabah berhak menerima kemudahan asas yang baik. Berikan keyakinan kepada kami untuk mengumpulkan semua data ini pada tahun depan, termasuk di kawasan DUN pembangkang.

“Kita akan menyusun semua keperluan jalan ini dan mencari mekanisme terbaik. Jika perlu menukar enakmen, kita akan tukar,” jelasnya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top