Ada Desakan Supaya Tangau Kekal Presiden UPKO

ewon-madius.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Beberapa ahli UPKO menggesa Datuk Seri Wilfred Madius Tangau kekal sebagai presiden parti selepas parti itu memenangi dua kerusi parlimen di bawah Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum yang berakhir baru-baru ini.

Gesaan itu dibuat walaupun Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick ditetapkan untuk mengambil alih jawatan presiden di bawah pelan peralihan kuasa yang dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti September lalu.

Tangau berjaya mengekalkan kerusi ParlimenTuaran pada PRU15, manakala Benedick pula berjaya merampas kerusi Parlimen Penampang daripada Warisan.

Tangau juga telah menarik diri daripada bertanding jawatan presiden yang disandangnya bagi membuka laluan kepada Benedick untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Menjawab gesaan agar Tangau terus menerajui jawatan presiden, Setiausaha Penyelaras Bahagian UPKO Kota Belud Dr Rizoh Bosorang sebaliknya mengingatkan semua ahli UPKO supaya menghormati perlembagaan parti dan proses pemilihan parti yang telah pun selesai.

Rizoh berkata keputusan peralihan kepimpinan telah pun dimuktamadkan dalam mesyuarat majlis tertinggi UPKO pada 28 Sept.

Beliau menambah bahawa kepimpinan baharu yang akan diketuai oleh Benedick sepatutnya mengambil alih semasa mesyuarat agung tiga tahun sekali pada 15-16 Okt tetapi ia ditangguhkan kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bahagian-bahagian UPKO, katanya, telah pun mengemukakan calon mereka untuk jawatan presiden serta jawatan lain dalam majlis tertinggi.

“Bukan rahsia lagi bahawa Benedick menerima lebih daripada dua pertiga daripada pencalonan daripada (27) bahagian UPKO,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

“(Kemudian) Tangau membuat kenyataan diplomatik bahawa beliau tidak mempertahankan jawatan itu. (Jadi) proses pemilihan parti selaras dengan perlembagaannya telah pun selesai dan kita minta semua ahli menghormati proses itu,” tambah Rizoh.

Rizoh berkata Pengerusi Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menjemput Benedick untuk menyampaikan ucapan alu-aluan sebagai presiden UPKO semasa mesyuarat presiden PH di Parlimen pada 5 Okt.

Pada Isnin Ketua UPKO Bahagian Tamparuli Jeffrey Teo dipetik oleh akhbar tempatan sebagai berkata bahawa dua kerusi UPKO pada PRU15 dan pelantikan Tangau ke dalam majlis presiden PH adalah alasan yang mencukupi untuk beliau terus memegang jawatan presiden buat masa ini.

Teo berkata pengalaman Tangau sebagai bekas menteri persekutuan serta timbalan ketua menteri akan menjadi satu pembaziran jika beliau berundur dari kerusi presiden.

Beliau berkata apabila Tangau bercakap tentang berundur, ia sebelum PRU15 tetapi keadaan sekarang jauh berbeza berdasarkan prestasi PH dalam pilihan raya itu.

Pada PRU15, PH memenangi lima kerusi di Sabah melalui DAP (dua), UPKO (dua) dan PKR (satu).

Bagi tujuan itu, Rizoh berkata perpaduan dalam parti adalah penting bagi meningkatkan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk bekas ahli yang berhasrat kembali ke UPKO kerana kepimpinan baharu.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Tangau kerana mempertahankan kerusi Tuaran tetapi kami juga berbangga dengan Benedick yang mengambil risiko (dengan bertanding di Penampang) dan berjaya menambah kekuatan UPKO.

“Kami di UPKO Kota Belud diajar membina pasukan dan membuat keputusan berdasarkan kepentingan parti.

“Kita mesti menghormati keputusan yang dibuat bersama dan bukannya hanya seorang yang membuat keputusan,” katanya, sambil menambah beliau berharap mesyuarat agung tiga tahun sekali UPKO yang dijadualkan pada 14 hingga 15 Jan akan berjalan lancar.

Peralihan kepimpinan yang tertangguh dijangka berlaku semasa mesyuarat tersebut.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top