KOTA KINABALU: Mahu membantu lebih ramai orang dorong Achmad Noorasyrul Noortaip turut mewarnai kancah politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah.
Achmad bagaimanapun memilih bertanding atas tiket Bebas dengan lambang Pokok di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N18 Inanam.
Baru berusia 33 tahun, anak muda dermawan berasal dari Kg Mensiang Manggatal dengan pendidikan Diploma Pengurusan Pelancongan itu adalah ada calon termuda dikalangan 10 calon yang bertanding di Inanam.
Pertandingan 10 penjuru itu menyaksikan beberapa calon dari kalangan orang lama dan ternama dalam politik seperti bekas Ketua Menteri Tan Sri Chong Kah Kiat (LDP), penyandang terakhir kerusi Inanam Kenny Chua (Bebas), bekas Ketua Daerah Kota Kinabalu Datuk William Majimbun (PBS) dan Francis Goh (GAGASAN).
Calon lain juga berkaliber seperti Peto Galim yang akan mempertahankan kerusi PKR, parti yang menang kerusi ini dalam dua pilihan raya sebelum ini.
Turut bertanding ialah Terence Tsen (PKAN), George Ngui (Bebas), Mohd Hardy Abdullah @ Zoro Yukon (USNO) dan calon tunggal wanita Regina Lim (PCS).
Mengenai PRN termasuk pertandingan 10 penjuru di Inanam, Achmad berpendapat bahawa situasi semasa politik tidak meletakkan mana-mana pihak di kedudukan dominan.
“Kami ada latar belakang dan kelebihan tersendiri untuk menjadi pertimbangan pengundi memilih siapa yang mewakili mereka. Antara kelebihan yang saya ada ialah rekod bersih dari isu-isu negatif. Saya percaya boleh menang tetapi peluang juga sama dengan calon lain.
“Bila berdiri dengan calon-calon veteran, saya rasa telah menunjukkan bahawa sebagai generasi muda, saya berani bersuara untuk generasi muda…dan sekarang saya sudah bersedia menghadapi pilihan raya ini,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Achmad berkata, dapatannya dari program-program sosial dan amalnya sebelum ini adalah, rakyat sudah muak dengan politik ‘kuda tua’ serta rakyat perlukan pemimpin yang mempunyai visi dan misi yang jelas.
“Saya pasti jika rakyat mahukan perubahan, mereka akan memilih calon yang mempunyai nilai amanah, integriti serta proaktif dalam mendekati permasalahan rakyat,” katanya, yang dikenali masyarakat dengan projek kebajikan seperti Van10Sen bagi menyediakan pengangkutan ke hospital untuk mereka yang tidak mampu serta Amal Prihatin Sabah dan Riderunner bagi membantu orang miskin dan mewujudkan pekerjaan.
“Kalah atau menang, saya akan teruskan projek-projek sosial dan kebajikan ini kerana ia adalah perjuangan saya sebagai anak bangsa dan bukan untuk pilihan raya sahaja. Tiada apa yang saya rugi kerana saya adalah rakyat untuk rakyat.
“Tetapi tentunya, saya boleh memberi sumbangan dan meneruskan projek-projek amal saya dalam skala yang lebih besar jika menang dalam pilihan raya ini,” katanya, sambil mendedahkan bahawa ini adalah kali pertama beliau masuk dalam dunia politik.- Utusan Borneo