Acara Pendakian Antarabangsa Gunung Kinabalu pada 6 Oktober depan

Daki-Kinabalu.jpg

Christina menunjukkan poster acara itu pada sidang media, kelmarin.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pendakian Antarabangsa Gunung Kinabalu bertaraf dunia yang ditangguhkan selama tujuh tahun akan kembali dianjurkan pada 6 Oktober depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, kali terakhir acara lasak itu diadakan pada tahun 2017.

Katanya, tahun ini adalah masa yang sesuai untuk mengadakan acara itu sekali lagi selepas terhenti selama tujuh tahun.

“Kita boleh menganjurkan lebih awal, tetapi pandemik COVID-19 dan beberapa isu teknikal lain, ia terpaksa ditangguhkan.

“Kini kita sudah bersedia dan sebab itulah kami menganjurkan acara larian ini kembali dan menjangkakan sekitar 200 peserta akan menyertai acara Climbathon ini,” katanya dalam sidang media, di sini kelmarin.

Christina berkata, acara yang akan berlangsung di Taman Kinabalu pada 6 Oktober depan menampilkan Kategori Lelaki Elit, Wanita Elit, dan Lelaki Veteran (40 tahun ke atas).

“Laluan mencabar sepanjang 26 kilometer ini akan ada kenaikan ketinggian 13.3 kilometer dan peserta akan menghadapi ujian ketahanan paling hebat apabila mereka berlumba naik dan turun Gunung Kinabalu.

“Kami dengan penuh semangat mengalu-alukan atlet dari seluruh dunia untuk menghadapi cabaran yang hebat ini dan merasai keindahan Gunung Kinabalu,” katanya.

Pada 2017 lepas, pelari Sabah Safrey Sumping dan atlet dari Filipina Sandi Menchi Catlona Abahan memenangi gelaran Lelaki dan Wanita Elit untuk dua tahun berturut-turut.

Pendaftaran akan mula dibuka pada 4 Jun ini dan maklumat lanjut serta pendaftaran, layari www.hellosabah.com dan www.climbathon.com.my atau email greetings@hellosabah.com.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Mary Malangking, Pengarah Taman-Taman Sabah Dr. Maklarin Lakim, Pengerusi Sri Pelancongan Sabah Ken Pan dan Ketua Pegawai Eksekutif Thonny Chee serta Pengurus Besar Sabapak Eco Sdn Bhd, Remysta Taylor. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top