KOTA KINABALU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan namanya adalah antara lima calon yang disenaraikan untuk dipilih bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, namanya dicadangkan Umno Kota Belud bersama empat lagi nama pemimpin di bahagian berkenaan yang diserahkan kepada kepemimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan.
Katanya, beliau memang mahu kembali berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di Kota Belud untuk menyambung apa yang pernah dilakukannya ketika menyandang kerusi berkenaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Saya suka untuk kembali berkhidmat di Kota Belud. Masih banyak lagi perancangan saya di Kota Belud dan ‘hashtag’ saya ialah ‘sambung yang tergendala’.
“Kalau diberikan peluang oleh parti, saya ingin kembali ke Kota Belud untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat di sana,” katanya ditemui media selepas Majlis Ikrar Pelajar Baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Jumaat.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah yang juga Pro Canselor UMS, Datuk Seri Hajiji Noor dan Naib Canselor baharu UMS, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansor.
Abdul Rahman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UMS bagaimanapun tidak mendedahkan nama empat lagi pemimpin Umno Kota Belud yang disenaraikan bersama namanya untuk dipilih kepemimpinan parti.
Bagaimanapun, berdasarkan kedudukan semasa, beberapa pemimpin Umno di Kota Belud dilihat berpotensi dicalonkan, antaranya Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Bahagian Umno ketika ini, Fadli Juanas.
Sementara itu, Abdul Rahman menyifatkan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN untuk menghadapi PRU-15 di negeri ini sebagai langkah yang baik.
“Kalau difikirkan sudah tentu GRS dan BN adalah dua parti yang berbeza tetapi kalau matlamat kita untuk mencari kestabilan demi kemakmuran negara dan Sabah, kita perlu berkompromi sekurang-kurangnya untuk masa sekarang,” katanya. – HMetro