Abdul Hadi Awang, Azhar Azizan Harun Kini Bergelar Tan Sri

TGHH-speaker.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan bekas Presiden MCA, Datuk Liow TIong Lai antara 19 individu yang menerima anugerah Panglima Setia Mahkota yang membawa kepada gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Selain ketiga-tiga mereka, individu lain yang menerima gelaran yang sama ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr. Mohd Daud Bakar.

Selain itu, bagi kategori di bawah kapasiti badan swasta, persatuan, sukarelawan dan sukan, penerimanya adalah Pengerusi Ikhlas Capital, Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak; Pengerusi Eksekutif LB Aluminium Berhad, Datuk Leow Chong Howa; Pengarah Eksekutif Perfect Group Holdings Limited, Datuk Tan Jyh Yaong; bekas Pengerusi Tetap Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mohd Shariff Omar; Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Penganugerahan itu adalah bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyaksikan 44 penerima anugerah hari ini di Istana Negara.

Seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan untuk 2021 manakala beberapa individu merupakan penerima bagi 2020.

Majlis tersebut dimulakan dengan kurniaan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ kepada Bekas Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum dan bekas Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali.

Sementara itu, seramai 18 individu menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) dan dua penerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD), masing-masing membawa gelaran Datuk.

Antara penerima PJN ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk ESM Nantha Balan; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Nor Azimah Abdul Aziz; Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Prof Dr Jayum Anak Jawan; bekas pemain badminton kebangsaan Datuk Misbun Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Mohamad Idham Nawawi. –UTUSAN ONLINE


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top