KAPIT: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menggesa Kerajaan Persekutuan mengembalikan kuota 35 peratus ataupun satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen kepada negeri ini dan juga Sabah.
BHarian dalam laporannya semalam memetik Abang Johari sebagai berkata, ia untuk mengelak Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan yang akan menjejaskan kepentingan Sarawak dan juga Sabah.
“Ketika pembentukan Malaysia, gabungan kerusi Parlimen daripada Singapura, Sarawak dan Sabah adalah melebihi satu pertiga.
“Namun apabila Singapura berpisah daripada Malaysia, kerusi Parlimennya diambil Semenanjung tanpa diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.
“Kepentingan serta hak Sarawak dan Sabah tidak akan terjamin berikutan gabungan kerusi kami di Parlimen adalah kurang daripada satu pertiga,” katanya.
Premier Sarawak itu berkata demikian pada majlis bersama masyarakat tempatan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Suarah Kapit, di sini, pada Ahad.
Dua negeri di Borneo ketika ini mempunyai 56 kerusi Parlimen iaitu 31 di Sarawak dan 25 di Sabah. Ia hanya 25 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, berbanding 74 kerusi yang sepatutnya ada jika mengambil kira satu pertiga seperti dijanjikan melalui Perjanjian Malaysia (MA63) 61 tahun lalu.
Justeru, pertambahan 22 lagi kerusi Parlimen diperlukan untuk Sabah dan Sarawak bagi melengkapkan kuota 35 peratus atau satu pertiga berpandukan jumlah keseluruhan kerusi Parlimen ketika ini.
Untuk rekod selepas pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah, Sarawak serta Singapura mewakili satu pertiga daripada 159 kerusi Parlimen ketika itu, manakala bakinya untuk Tanah Melayu.
Selepas Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kuota dipersetujui itu sepatutnya diisi bersama Sabah dan Sarawak.
Yang pasti, Sarawak sudah memberikan bayangan 12 kerusi Parlimen tambahan. Jika ini berhasil melalui kajian persempadanan baharu Sarawak kali ini, maka sekurang-kurangnya 10 lagi kerusi diperlukan untuk Sabah bagi melengkapkan kuota seperti dipersetujui melalui MA63 lebih enam dekad lalu.
Dalam pada itu, Abang Johari ketika mengulas kebimbangan Sarawak dan Sabah berkata, Parlimen dikhuatiri mungkin akan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan MA63.
“Justeru dengan adanya satu pertiga daripada jumlah kerusi itu, kita dapat memastikan MA63 kekal terpelihara.
“Dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, perkataan disebut ialah ‘safeguard’,” katanya.
Suruhanjaya Cobbold ditubuh bagi menentukan sama ada rakyat Sarawak dan Sabah menyokong cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia ketika itu.
Sebarang pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan hanya boleh diluluskan dengan sokongan wajib dua pertiga daripada jumlah keseluruhan Ahli Parlimen.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pemimpin pengasas dari Sarawak dan Sabah memiliki kebijaksanaan serta berpandangan jauh dalam usaha memastikan kepentingan dan hak mereka dalam Malaysia adalah terpelihara serta dilindungi.
“Kami hendak ‘safeguard’ itu dikembalikan kepada kami selaras dengan Laporan Suruhanjaya Cobbold, bukan kami tidak mahukannya,” katanya.