‘Abah’ Dijadual Melawat Sabah Dua Hari

muhyiddin_250820.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sabah bermula esok.

Ia adalah lawatan sulungnya ke negeri ini selepas dilantik Perdana Menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), akhir Februari lalu.

Beliau, yang lebih mesra dengan gelaran ‘abah’ di kalangan rakyat dijadual menghadiri tujuh program, masing-masing enam di ibu negeri dan satu di Sandakan.

Program pertama beliau ialah mendengar taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah di Alam Mesra, di sini, pada jam 11.15 pagi, esok.

Taklimat tertutup itu dijangka disampaikan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Hajiji Noor.

Selesai program berkenaan, Muhyiddin dijadual menghadiri program Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan negeri di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC), Tanjung Lipat pada jam 12 tengah hari.

Pada sebelah petang, beliau turut dijadual menghadiri perhimpunan bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), jam 3.30.

Muhyiddin turut dijadual menghadiri Majlis Sepetang Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri di SICC pada jam 5.15 petang.

Program Perdana Menteri esok diakhiri dengan Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sabah di Sipadan Hall II dan III, Aras 4, SICC pada jam 7.45 malam.

Pada Ahad, Muhyiddin dijadual menghadiri program Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Penjawat Awam di Dewan Angsana, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah pada jam 10.30 pagi.

Beliau kemudian dijadual berlepas ke Sandakan untuk menghadiri program Perjumpaan Pimpinan Masyarakat bersama YAB Perdana Menteri di Dewan Hakka, Sandakan pada jam 1.30 tengah hari.

Sempena lawatannya, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dijangka membuat beberapa pengumuman mengenai persediaan gabungan itu menghadapi PRN Sabah, bulan depan, termasuk berkaitan PN Sabah. – Berita asal: bharian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top