AADK, MBS Meterai LoI Perkasa Program Cegah Dadah Di Sabah

ADK-MBS.jpg

Sutekno (dua kiri) menyaksikan Nani (kiri) dan Osman (dua kanan) menunjukkan dokumen LoI yang ditandatangani pada majlis itu.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Majlis Belia Sabah (MBS) akan memperkasakan pelbagai usaha bagi mencapai sasaran pencegahan dadah dalam kalangan komuniti di negeri ini.

Ketua Pengarah AADK Malaysia Sutekno Ahmad Belon berkata, menerusi Surat Hasrat (LoI) yang ditandatangani kedua-dua pihak, beberapa program pencegahan dadah akan dilaksanakan secara menyeluruh di Sabah.

Katanya, AADK mahu MBS menganggotai Skuad AADK iaitu badan sukarela yang menggerakkan program pencegahan khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, menerusi langkah itu, pihak AADK dan MBS dapat menjalankan program untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai dadah yang masih menjadi musuh nombor satu negara.

“Secara umumnya, AADK sentiasa menjalin kerjasama erat dengan pelbagai persatuan terutama membabitkan golongan belia termasuklah di Sabah.

“Dengan adanya LoI ini, kita dapat mantapkan lagi pelaksanaan program dengan lebih mudah dan seterusnya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang lebih terancang.

“Kita sasarkan di Sabah, menjelang 2025 nanti paras setiap 100,000 jumlah penduduk, tidak lebih 400 orang yang dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani LoI di antara AADK Negeri Sabah dan MBS di sini Isnin lepas.

Sehubungan itu, Sutekno berharap, kerjasama berkenaan akan membantu AADK dalam mencapai sasaran yang ditetapkan untuk negeri ini sekali gus menjayakan usaha memerangi dadah di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah AADK Negeri Sabah Nani Sikin berkata, LoI berkenaan adalah satu platform baharu yang menjadi permulaan dalam meningkatkan lagi kerjasama erat AADK bersama pihak MBS.

“Kita tahu MBS mempunyai banyak gabungan, justeru mereka dapat membantu  kita mencapai sasaran kepada golongan individu, keluarga dan seterusnya masyarakat yang memerlukan pendedahan dalam menangani masalah berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Pada saya, ini juga satu sejarah kerana selepas ini satu platform baharu akan membantu kita untuk tingkatkan usaha bersama MBS,” katanya.

Naib Presiden MBS Osman Johari berkata, MBS mempunyai sebanyak 17 gabungan yang merangkumi seluruh belia di Sabah.

Menurutnya, kelebihan yang ada pada MBS akan dimanfaatkan menerusi gabungan berkenaan bagi memastikan program pencegahan dadah dilaksanakan secara menyeluruh.

“Ini satu kelebihan buat MBS untuk membantu AADK dalam mencapai sasaran serta menjayakan pelbagai perancangan program pencegahan dadah pada masa akan datang,” jelasnya. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top