KOTA KINABALU: Kebakaran di tapak pelupusan Kayu Madang di sini hampir dipadam sepenuhnya apabila lebih 97 peratus kawasan dapat dikawal dalam operasi yang memasuki hari kelima setakat semalam, kata Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Ordine Gilu.
Beliau berkata dalam operasi semalam, JBPM menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran di kawasan seluas 10,287 meter persegi dan bagi memudahkan operasi, kawasan itu dipecahkan kepada empat sektor.
Katanya, luas kebakaran berbaki 1,257.3 meter persegi iaitu sektor D telah dipadamkan sepenuhnya, sektor C (95 peratus), sektor B pada tahap 99 peratus dan sektor A (95 peratus).
“Kebakaran melibatkan sisa pembuangan tayar terpakai di tapak pelupusan sampah berkenaan yang berkeluasan 45,700 meter persegi.
“Operasi pemadaman hari kelima menggunakan peralatan Monitor Fire Fighting bersama jentera High Performance Pump Module dengan mengambil sumber air terbuka dan pemadaman menggunakan sebanyak 14 tong buih pemadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata 41 pegawai serta anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran serta dibantu beberapa BBP lain antaranya dari Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Ibu Pejabat JBPM Sabah, sedang bertungkus lumus menjalankan operasi pemadaman.
Ordine berkata pihaknya turut menggunakan tanah untuk menimbus kawasan terlibat melibatkan lebih 1,200 buah lori penghantaran sejak hari pertama.