90 Persatuan Etnik Akan Meriahkan Hari Jadi Rasmi TYT Tahun Ini

dr-joachim.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Jadi Rasmi Ke-68 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri Sabah berkata, Kerajaan menerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) mengambil inisiatif menghimpunkan lebih 90 etnik di negeri ini untuk diketengahkan dalam sambutan pada tahun ini.

“Ini merupakan antara pembaharuan pada tahun ini.

“Buat julung kalinya, LKNS mengilhamkan satu acara sambutan hari etnik yang melibatkan hampir 90 persatuan etnik di Sabah.

“Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin ibarat payung kepada semua etnik di Sabah

“Sambutan hari etnik ini juga bertujuan agar semua etnik di Sabah masih dapat mengenali atau memahami pertuturan dalam bahasa masing-masing,” kata beliau.

Menurut beliau, tujuh acara lain juga akan diadakan sempena hari jadi rasmi TYT Sabah.

“Antaranya ialah Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran diikuti Majlis Santapan Negeri serta Majlis Bacaan Doa Selamat,” ujarnya.

Katanya, sambutan secara hybrid tersebut dijangka akan diadakan pada 23 Oktober depan dengan penyampaian dua anugerah iaitu Anugerah Penggiat Bahasa Etnik Sabah dan Anugerah Utama Tokoh Penggiat Bahasa Sabah 2021.

Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian memaklumkan, Anugerah Penggiat Bahasa Etnik Sabah terbahagi kepada dua kategori yang merangkumi Anugerah Penggiat Bahasa (Persatuan) dan Anugerah Guru Bahasa (Jabatan Pendidikan Negeri Sabah).

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang DiPertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Turut hadir Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri dan Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison.  –Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top