SEMPORNA: Seramai 89 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 di daerah ini menerima insentif daripada Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.
Majlis penyerahan insentif berkenaan telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Jamil Hamzah yang mewakili Shafie.
Jamil berkata, pemberian insentif kepada pelajar cemerlang sudah menjadi rutin bagi pemimpin di daerah ini dan akan diadakan pada setiap tahun.
Katanya, insentif itu adalah penghargaan kepada pelajar yang sudah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan telah mengharumkan nama daerah Semporna.
“Saya difahamkan seramai 89 orang pelajar daripada sembilan buah sekolah di Semporna yang mendapat keputusan 6A hingga 10A telah menerima insentif kali ini.
“Insentif berkenaan sudah pasti memberi kegembiraan kepada semua pelajar cemerlang kerana usaha mereka dihargai oleh pemimpin di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2023 anjuran Parlimen Semporna, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, berdasarkan kepada statistik yang dikemukakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna, keputusan SPM tahun 2023 di daerah ini telah menunjukkan peningkatan.
Namun, katanya, warga pendidik perlu bekerja lebih keras lagi untuk mengekalkan dan meningkatkan prestasi pencapaian pendidikan di daerah ini pada masa akan datang.
“Saya juga berharap kerajaan negeri dan Persekutuan dapat menambahbaik prasarana sekolah terutamanya di daerah Semporna supaya pelajar mendapat akses pendidikan yang baik.
“Pelajar adalah modal insan yang perlu diberikan perhatian sewajarnya supaya mereka boleh bersaing di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, antara sekolah yang terlibat ialah SMK Datuk Panglima Abdullah, SMK Bugaya, SMKA Tun Sakaran, SMK Datuk Panglima Haji Jakarullah, SMK Kabogan, SMK Bugaya II, SMK Tagasan, SMK Bum-Bum, dan MRSM Semporna.
Turut hadir, Pemangku Pegawai PPD Semporna, Siti Namla Haji Abdul Hamid dan Pengerusi Focal Person Semporna, Hatta Lisani. – Utusan Borneo