86 Permohonan Daftar Parti Politik Ditolak, 25 Dalam Proses Disemak – Menteri KDN

hamzah.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menolak 86 permohonan pendaftaran parti politik dari 2018 hingga kini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam jawapan bertulis kepada Hannah Yeoh (PH-Segambut), Hamzah berkata, keputusan penolakan sesuatu permohonan pertubuhan untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik adalah mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) dan Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 yang berkuat kuasa.

“Dalam hal ini, pendaftaran dan penolakan ke atas pertubuhan yang dikeluarkan oleh JPPM adalah berasaskan proses semakan dan penelitian di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sehingga 31 Jan, jumlah pertubuhan parti politik yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) adalah sebanyak 67 pertubuhan parti induk dan 86,786 pertubuhan cawangan parti politik.

Sementara dalam tempoh Feb 2020 sehingga kini katanya, terdapat 25 permohonan pendaftaran parti politik diterima dan status permohonan tersebut dalam proses semakan dan penelitian pihak JPPM untuk pertimbangan selanjutnya.

Menjawab soalan berasingan daripada Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) mengenai jumlah permohonan kerakyatan bagi anak kelahiran ibu warganegara dan bapa rakyat asing, Hamzah berkata, Jabatan Pendaftaran Negara menerima 568 permohonan dari 2020 hingga 15 Feb.

“Daripada jumlah itu, lima permohonan diluluskan dan tiada permohonan ditolak,” katanya.

 

Berita asal: FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top