86.7% Kawasan Berpenduduk Di Sabah Dapat Liputan 4G – Annuar

annuar-musa.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Liputan 4G di kawasan berpenduduk Sabah kini telah mencapai 86.9%, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha bersepadu dalam memperkukuh infrastruktur perkhidmatan jalur lebar khususnya menerusi Pelan Rangkaian Digital Nasional (Jendela) di Sabah.

“Kami bersetuju agar SKMM negeri (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) berbincang dengan kerajaan negeri sama ada kawasan penduduk mereka benar-benar dimasukkan dalam (usaha) pemetaan kami.

“Sabah misalnya telah mencapai liputan 86.9% di kawasan berpenduduknya, tetapi mencapai (liputan rangkaian 4G) dan kualiti (liputan) adalah perkara yang berbeza. Mencapai (liputan) bermakna kawasan itu mempunyai ketersambungan.

“Tetapi kita tahu mengenai rangkaian jalur lebar, jangkauan (liputan rangkaian) tidak statik dan dinamik. Apabila orang ramai pulang ke kampung halaman dan terdapat ramai pengguna (internet) kelajuan akan terjejas,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Annuar sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital (Medikk) Komunikasi dan Industri Kreatif, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Annuar berkata walaupun berpuas hati dengan kemajuan Jendela, beliau mahu semua projek pembangunan yang dirancang seperti menara baharu dan naik taraf menara sedia ada dipercepatkan.

Kementerian juga sedang meneliti beberapa teknologi baharu untuk memastikan perkhidmatan rangkaian Internet sampai ke semua kawasan, termasuk pedalaman, selaras dengan matlamat memastikan liputan rangkaian 4G di seluruh negara mencapai 96.9% menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata hampir 99% rangkaian 3G telah ditutup dan kira-kira 86% hingga 87% pengguna sudah berada di rangkaian 4G setakat ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar mengarahkan SKMM memantau dan menangani isu menara telekomunikasi haram sambil berkata pihaknya turut menerima beberapa maklumat berhubung perkara itu di Johor dan beberapa negeri lain.

“Menara haram tidak dibenarkan. Saya harap SKMM dapat meneliti perkara ini kerana ini boleh mendatangkan banyak masalah termasuk dari segi keselamatan selain kehilangan hasil kerajaan tempatan dan mengganggu perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, mesyuarat Medikk hari ini bersetuju kementerian dan SKMM mengadakan perbincangan dengan wakil setiap negeri bagi memperkemas dan menambah baik proses pelaksanaan projek Jendela termasuk dalam hal berkaitan kelulusan tapak pembinaan infrastruktur berkaitan.

“Setiap negeri mempunyai peraturan dan undang-undang sendiri dan kita tidak campur tangan dalam perkara di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, terutama dalam hal tanah, tetapi ada jalan untuk kita membentuk persefahaman dengan bertukar maklumat.

“SKMM akan menyediakan rangka kerja berdasarkan pengalaman lepas dan kami akan duduk bersama kerajaan negeri khusus untuk membantu kami mempercepatkan projek pembangunan infrastruktur jalur lebar masa depan,” katanya sambil menambah bahawa SKMM juga telah diminta untuk bekerjasama rapat dengan wakil rakyat bagi menangani aduan dan menyediakan perkhidmatan liputan Internet yang lebih berkualiti.

Orang ramai juga boleh terus menyalurkan maklumat mengenai masalah berkaitan perkhidmatan jalur lebar di kawasan masing-masing melalui portal Jendela Map, tambahnya. – Bernama

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top