80 peratus peluang pekerjaan dijana pelaburan industri diberi kepada anak Sabah

Phoong-SBH-Kibing-Solar.jpg

Gambar fail - Phoong ketika melawat kilang SBH Kibing Solar tahun lepas.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah meletakkan dasar untuk memberikan 80 peratus daripada peluang pekerjaan, dijana pelaburan sektor perindustrian, diberikan kepada anak tempatan negeri ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Datuk Phoong Jin Zhe berkata dasar itu antara lain direalisasikan menerusi pelaburan syarikat SK Nexilis dari Korea Selatan dan SBH Kibing Solar dari China, kedua-duanya beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini.

Beliau berkata syarikat itu kedua-duanya mempunyai 86 peratus pekerja terdiri anak Sabah bagi pekerjaan perkilangan, manakala kira-kira 50 peratus antara anak Sabah dan ekspatriat untuk pekerjaan melibatkan juruteknik profesional.

“Kita perlukan sedikit masa untuk meningkatkan tahap 50 peratus anak Sabah dalam juruteknik profesional, ini kerana dalam proses untuk menjadi juruteknik profesional, ekspatriat ini melatih anak Sabah melalui pemindahan kemahiran serta teknologi.

“Saya akan pantau rapat perkara ini supaya meningkat hingga 90 kemudian 100 peratus pekerjaan ini dapat dipenuhi anak Sabah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) tentang dasar pemberian pekerjaan kepada anak Sabah dalam sektor perindustrian, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.

Beliau berkata anak Sabah yang bekerja dengan syarikat itu telah dihantar ke kilang utama syarikat masing-masing di Korea Selatan dan China bagi meningkatkan kemahiran serta mempelajari teknologi baharu daripada syarikat berkenaan.

SK Nexilis telah melabur RM2.3 bilion untuk kilang pembuatan kerajang tembaga di KKIP, manakala SBH Kibing Solar melabur RM3 bilion bagi kilang pembuatan solar photovoltaic glass di taman perindustrian yang sama.

Menjawab soalan asal Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin (GRS-Nabawan) tentang usaha kerajaan mengatasi pengganguran, kemiskinan dan penghijrahan anak Sabah, Phoon berkata menarik masuk pelaburan sama ada asing atau tempatan ke Sabah adalah penting bagi mengatasi isu itu.

Katanya, kerajaan negeri berusaha membawa masuk lebih banyak pelaburan antaranya mengadakan misi perdagangan, pakej insentif kepada pelabur dan memudahkan urusan pelaburan dengan tahun lepas berjaya menarik RM11.34 bilion pelaburan dengan RM1.5 bilion daripada sektor perindustrian.

“Kita tidak mahu berlaku brain drain di Sabah. Dengan adanya inisiatif seperti ini, usaha kita untuk menambah peluang pekerjaan di Sabah semakin membuahkan hasil positif, kadar pengganguran juga berjaya kita turunkan daripada 9 peratus kepada kira-kira 7.5 peratus sahaja,” katanya.

Beliau berkata jumlah penduduk yang bekerja di negeri ini ialah 1.99 juta orang pada 2019, bagaimanapun ia menurun kepada sekitar 1.8 juta pada 2020 dan 2021 akibat COVID-19, namun kembali meningkat kepada 1.99 juta pada 2022, dan 2.05 juta pada suku kedua tahun lepas.

“Hal ini menunjukkan kita berjaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat… usaha di peringkat kerajaan tidak akan berhenti, kita mahu terus tingkatkan,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top