8 Agensi Kerajaan, 9 Syarikat Disiasat SPRM Berhubung Dana RM92.5 Bilion

sprm.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan agensi utama kerajaan dan sembilan syarikat lagi sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan ketirisan berkaitan pakej rangsangan ekonomi bernilai lebih RM92.5 bilion.

Seorang sumber memaklumkan kepada Astro AWANI, operasi yang dijalankan secara serentak di sekitar Lembah Klang bermula Khamis.

Menurut sumber itu lagi, fasa pertama dilaksanakan ke atas lapan agensi utama yang menerima peruntukan yang besar pada tahun 2020 dan 2021 dibawah pakej rangsangan ekonomi yang diluluskan kerajaan terdahulu.

“Lanjut itu, sembilan buah syarikat pembekal utama telah dikunjungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan dokumen-dokumen yang berkaitan kes.

“Di peringkat ini kita tidak dapat mendedahkan hasil siasatan atau penemuan apa-apa bukti penyelewengan kerana ianya masih awal,” katanya lagi.

Sumber itu berkata, pihak SPRM memerlukan sedikit masa untuk meneliti, mengkaji dan mengesan sebarang bentuk kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Minggu lepas, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan mereka telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dikatakan berjumlah RM600 bilion.

SPRM berkata, telah menerima butiran daripada Kementerian Kewangan berhubung dana pakej rangsangan ekonomi dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2020 dan 2021 berkait pengurusan COVID-19.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

Daripada jumlah itu, RM437.5 bilion merupakan dana bukan daripada kerajaan, justeru fokus siasatan terarah kepada dana kerajaan RM92.5 bilion terbabit

SPRM berkata mereka mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, bukti atau dokumen berkaitan kes itu untuk tampil ke pejabat SPRM berdekatan bagi membantu siasatan. – AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top