74 pengusaha di dalam kawasan Taman Banjaran Crocker mendapat Sijil Lot Komuniti

Dr-jeffrey-1.jpg

(Kredit foto: Jeffrey G. Kitingan Page)

Kongsi Bersama

KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan menyampaikan Sijil Lot Komuniti kepada 74 pengusaha di dalam kawasan Taman Banjaran Crocker Mukim Bunga Raya, Keningau pada Selasa lalu.

Beliau berkata aktiviti penerokaan kebun di dalam kawasan mukim Bunga Raya, Taman Banjaran Crocker telah lama berlarutan dan Taman-taman Sabah mengambil pendekatan mewujudkan hubungan “simbiotik” yang mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak.

Jelasnya Pemegang Sijil Lot Komuniti di dalam kawasan Taman akan mendapat faedah, yang pertama, mempunyai jaminan hak bercucuk tanam di kawasan yang diberi sijil; kedua, Sijil Lot Komuniti boleh diwariskan kepada keluarga terdekat; ketiga, peserta tidak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Taman-Taman, 1984 selagi mematuhi Peraturan-Peraturan dan Syarat Sijil Lot; dan keempat, pemegang Permit boleh dan layak memohon bantuan subsidi dari mana-mana Jabatan atau agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Sementara itu di pihak pengurusan Taman-Taman Sabah, pengawalan dan perlindungan kawasan Taman akan menjadi lebih berkesan dengan bantuan komuniti dari Mukim Bunga Raya.

“Saya juga ingin menekankan bahawa hubungan dan kerjasama dengan komuniti bagi melindungi sumber kawasan Taman juga dapat dipertingkatkan sama ada melalui program-program pemuliharaan, pelaporan kes-kes pencerobohan dalam kawasan Taman dan yang lebih penting penglibatan komuniti bagi menguatkuasakan Enakmen Taman-Taman 1984,” katanya.

Menurutnya lagi di samping itu ia dapat memberikan kesedaran kepada komuniti tentang kepentingan perlindungan sumber kawasan Taman untuk generasi masa kini dan mendatang.

Kitingan juga berkata komuniti merupakan kumpulan terawal bertindak menghalang atau melaporkan kepada pihat pengurusan Taman sekiranya berlaku sebarang kegiatan bercanggah dengan Enakmen Taman-taman.

Katanya pemberian Sijil Lot Komuniti itu sejajar dengan Pelan Strategik Taman-Taman Sabah yang mana antaranya ialah mewujudkan keharmonian simbiotik antara Taman dengan semua pihak berkepentingan.

Taman-Taman Sabah bertanggungjawab melindungi Sembilan (9) kawasan Taman di seluruh Negeri Sabah dan salah satunya ialah Taman Banjaran Crocker yang mempunyai keluasan 139,919 hektar yang menyamai dua kali ganda Pulau Singapura. Taman itu merupakan salah satu daripada Taman daratan yang terbesar di Sabah, berdasarkan kepada pewartaan di bawah Enakmen Taman-Taman 1984.

Lebih menarik lagi, kawasan Banjaran Crocker dan sekelilingnya dengan keluasan 350,584 hektar telah diisytiharkan sebagai Rizab Biosfera Banjaran Crocker (RBBC) di bawah Program UNESCO ‘Manusia dan Biosfera (MaB).

Kitingan sekali lagi menyeru kepada semua komuniti kampung untuk bersama-sama memastikan Banjaran Crocker terus dilindungi dan diurus dengan pengurusan bertaraf antarabangsa.

 

Sumber: Jeffrey G. Kitingan Page

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top