700,000 Penerima BKC Dapat Bantuan Mulai Khamis Ini

ismail-sabri-1-4.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Pembayaran Fasa 2 Bantuan Khas Covid-19 (BKC) akan dibuat mulai Khamis ini dengan peruntukan berjumlah RM300 juta.

Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran kedua itu melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam  kategori miskin.

Beliau berkata, ia merupakan lanjutan pembayaran Fasa 1 BKC yang selesai dibuat pada September lalu dengan peruntukan sebanyak  RM3.1 bilion dan memanfaatkan hampir 10 juta penerima.

“Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC, iaitu https://bkc.hasil.gov.my.

“Untuk maklumat lanjut termasuk kriteria penerima dan jumlah bantuan yang bakal diterima, warga Keluarga Malaysia boleh merujuk Jadual 2 serta Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 BKC akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada bulan depan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40.

Kata beliau, BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Beliau menjelaskan, Kerajaan mengumumkan Pakej PEMULIH pada 28 Jun lalu sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.

“Ingin saya tegaskan kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan terus komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan,” katanya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top