KOTA KINABALU: Kira-kira 70 guru sekolah menengah dari Sabah, Sarawak dan Labuan menyertai latihan Program Duta Guru selama tiga hari anjuran Yayasan PETRONAS.
Program itu diadakan bertujuan memperkukuh keupayaan warga pendidik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Shariah Nelly Francis berkata, kemuncak latihan itu berlangsung semalam, dengan sesi bootcamp yang menyaksikan mereka mengambil bahagian dalam simulasi menggunakan metodologi Proses Reka Bentuk Kejuruteraan (EDP), bagi menghasilkan inovasi bagi menangani permasalahan berkaitan STEM di kalangan pelajar, sekolah mahu pun komuniti.

“Melalui EDP, guru-guru ini bersumbangsaran, mengenal pasti penyataan masalah serta bekerjasama untuk membangunkan prototaip pembelajaran,” katanya.
Bercakap pada Majlis Penutupan Latihan Wilayah PDG Kohort 3 di sini, semalam, beliau berkata bahawa EDP adalah langkah yang diperlukan untuk mereka merangka dan melengkapkan Modul Inovasi STEM.
Menurut beliau latihan PDG khususnya bootcamp EDP adalah bagi memastikan Duta Guru ini memiliki pengetahuan dan sumber yang diperlukan untuk mengajar mata pelajaran STEM dengan berkesan.
“Ia juga merupakan faktor utama dalam memastikan golongan pendidik ini dapat membawa pengalaman mereka kepada pelajar, sekolah dan komuniti, serta memupuk kemahiran bagi menangani keperluan masa hadapan yang pastinya akan dipacu oleh sains dan teknologi,” katanya.
Menurutnya, memperkasakan ilmu melalui PDG bertujuan mengukuhkan keupayaan seramai 4,500 guru STEM di sekolah yang mempunyai majoriti pelajar B40 menjelang 2030.
Tambah beliau, ia merupakan kerjasama antara Yayasan PETRONAS dan Kementerian Pendidikan, melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan.
“Sejak pelancaran PDG pada 2019, lebih 250 guru telah dilatih dalam program pembangunan selama dua tahun itu,” katanya.