70 Adun, 4 Adun Lantikan Sabah Angkat Sumpah Hari Ini

angkat-sumpah.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seramai 70 daripada keseluruhan 73 Adun Sabah hari ini mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua DUN Sabah Datuk Kadzim Yahya.

Majlis angkat sumpah itu diadakan di Bangunan DUN selepas Adun berkenaan memenangi kerusi DUN masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu. Turut mengangkat sumpah pada majlis sama, 4 daripada 6 Adun yang dilantik.

Upacara angkat sumpah itu didahului Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Adun Lamag diikuti 2 lagi Timbalan Ketua Menteri iaitu Adun Tambunan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Adun Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang juga bekas ketua menteri Sabah turut mengangkat sumpah sebagai Adun Senallang.

Empat Adun dilantik yang mengangkat sumpah hari ini ialah Setiausaha PAS Sabah DrAliakbar Gulasan menjadi wakil PAS pertama mengangkat sumpah sebagai Adun, Bendahari UMNO Sabah Suhaimi Nasir, bekas ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi dan bekas Adun lantikan kerajaan negeri terdahulu Jaffari Waliam.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor juga Adun Sulaman merupakan antara 3 Adun yang tidak hadir pada majlis angkat sumpah itu kerana sedang menjalani kuarantin kendiri selama 2 minggu bermula semalam selepas terdedah kepada individu didapati positif Covid-19.

Dua Adun lagi yang tidak hadir ialah Adun Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong dan Adun Bugaya Datuk Manis Muka.

Sementara Adun yang dilantik tidak hadir Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Naib Ketua Srikandi PPBM Sabah Datuk Amisah Yassin.

Pada PRN lalu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi 38 kerusi daripada 73 keseluruhan kerusi sekali gus berjaya membentuk kerajaan baharu.

Sementara Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, Upko, DAP, PKR dan Amanah hanya memenangi 32 kerusi.

Pada 29 September lalu, Hajiji yang juga Pengerusi PN Sabah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah ke-16 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top