PENAMPANG: Tujuh buah rumah terbakar dengan empat daripadanya musnah dalam satu kejadian di Kampung Domis, Jalan Hungab, di sini, petang semalam.
Turut musnah ialah dua buah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser dan Perodua Bezza.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah, panggilan kecemasan diterima berhubung kejadian itu menerusi talian MERS999 pada jam 2.59 petang.
Sepasukan bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, diketuai Komander Operasi, PBK II Calixtus Fedilis dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak dua kilometer dari BBP.
Mereka turut dibantu oleh anggota dan jentera dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas.
Setiba di sana, pasukan bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan dua aliran 400kaki tiga pancutan sumber air dari jentera water tanker BBP Penampang dan pili bomba berhampiran, dan bantuan dari BBP Kota Kinabalu satu aliran 200kaki dua pancutan sumber air dari jentera water tanker dan pili bomba berhampiran.
Empat daripada rumah terlibat terbakar 100 peratus manakala tiga lagi terbakar 10 peratus.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.16 petang dan operasi ditamatkan pada jam 8.18 malam .Tiada mangsa dilaporkan terlibat.