KOTA KINABALU: Tujuh ADUN Umno Sabah menemui Ketua Menteri, Hajiji Noor selepas perjumpaan pemimpin Umno negeri di Bangunan Umno Sabah, malam tadi.
Menurut laporan FMT Pertemuan yang diadakan di kediaman Hajiji itu diketuai oleh Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan.
Perkara itu dikongsi menerusi Facebook Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Ariffin Arif yang turut hadir pada pertemuan berkenaan.
“Adun Umno diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Yakub Khan berkunjung silaturahmi kepada YAB (Yang Amat Berhormat) ketua menteri di kediaman beliau,” katanya dalam hantaran itu bersama sekeping gambar.
Antara yang kelihatan hadir pada pertemuan itu ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Mohd Hamsan Ag Supain (Sungai Sibuga).
Selain itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk James Ratib (Sugut); Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Harun Durabi (Bengkoka); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); dan Datuk Raimie Unggi (Adun dilantik), turut hadir.
Petang semalam, semua Adun Umno negeri itu diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin berkumpul di Bangunan Umno Sabah, di tengah-tengah timbulnya spekulasi mengenai kononnya bakal berlaku pertukaran kerajaan negeri menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Warisan.
Pada masa sama, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijadual mengadakan sidang media di lokasi berasingan pada 4.30 petang semalam yang dipercayai ada kaitan dengan spekulasi berkenaan, namun ia ditangguhkan selepas petugas media menunggu lebih dua jam.