KOTA KINABALU: 650 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina telah dipindahkan melalui Pelabuhan Sandakan untuk kembali ke negara asal mereka semalam. Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin ini dilaksanakan dengan pengangkutan laut terus ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, menyatakan bahawa pemindahan ini melibatkan 415 lelaki dan 170 wanita, termasuk 56 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta 9 bayi yang berusia kurang dari 23 bulan.
“Ini adalah pemindahan siri ke-15 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024, menggunakan Feri MV Antonia 1. Semua PATI yang terlibat berumur antara satu hingga 67 tahun telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media semalam.
SH Sitti Saleha menjelaskan bahawa pemindahan kali ini hanya melibatkan tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu. Sehingga kini, seramai 3,768 tahanan warga Filipina telah dihantar pulang, menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang dihantar pulang mencecah 5,701 orang.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara hingga tindakan pemindahan keluar dari negara.
“Kekerapan pemindahan ini bergantung kepada kerjasama pihak Kedutaan Filipina dalam mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan sebelum boleh dihantar pulang,” tambahnya.
Beliau juga menasihati majikan yang menggaji pekerja asing agar memastikan pekerja memiliki pas PLKS yang sah untuk bekerja di negeri ini. Pelancong yang datang ke Sabah juga diingatkan supaya tidak menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan lain.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha menegaskan bahawa Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang negara.