KOTA KINABALU: Seramai 6,400 pelajar Sabah mendapat manfaat daripada Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) Peringkat Negeri Sabah.
Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, jelajah tersebut membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi khususnya daripada keluarga B40 atau kurang berkemampuan.
“Agenda pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat meliputi bantuan khas pendidikan kepada golongan memerlukan bagi memastikan anak jati Sabah mempunyai akses dan tidak dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan.
“Selari dengan komitmen pembangunan modal insan melalui pendidikan, pemberian biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan diteruskan dengan peruntukan RM55 juta.
“Keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang mengambil kursus seperti bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya bagi memenuhi tuntutan pasaran pada masa akan datang,” katanya di sini pada Rabu.
Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah menegaskan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pendidikan perlu dipertingkatkan dengan lebih drastik supaya mencapai tahap yang disasarkan.
“Anjakan paradigma mesti dilakukan bagi meningkatkan persepsi positif dengan sokongan ibubapa untuk mendedahkan anak-anak lebih celik tentang potensi laluan pendidikan melalui JPKM ini.
“Kita tidak mahu anak-anak yang layak ini tidak dibantu dan diberi peluang untuk meneruskan pelajaran kerana mereka adalah generasi peneraju legasi masa depan negara,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) kerana berjaya melebar luas peluang pendidikan dari aspek menterjemah aspirasi kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan dalam bidang akademik.- PENERANGAN.