KUDAT: Sebanyak 613 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terlibat dalam pengagihan bakul makanan kepada seramai 26,000 orang penerima di seluruh Sabah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pengagihan melalui program RT Cares di bawah Kementerian Perpaduan Negara itu menyasarkan golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.
Jelas beliau, program sedemikian merupakan salah satu inisiatif Kerajaan yang mendukung falsafah prihatin dan bertanggungjawab bagi membela mereka yang terkesan.
“Di Sabah, sebanyak 613 KRT dilibatkan dalam pengagihan RT Cares kepada seramai 26,000 orang penerima.
“Ini merupakan program Kementerian Perpaduan Negara untuk memastikan kelangsungan komuniti ketika pandemik Covid-19 menerusi pemerkasaan tanggungjawab pihak KRT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program RT Cares dan Majlis Penyampaian Sukarelawan Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) peringkat Daerah Kecil Banggi di Pulau Banggi, di sini pada Isnin.